Tuesday, March 6, 2018

Ahli keluarga saya gagal tidak dipersoalkan pula, kata Dr M

mahathir-mohamad-Ahli-keluarga-saya-gagal-tidak-dipersoalkan 
KUALA LUMPUR: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Tun Dr Mahathir Mohamad membidas sikap individu-individu yang menggesa pihak berkuasa menyiasat ahli keluarganya yang didakwa memiliki kekayaan luar biasa.
Beliau berkata ada ahli keluarganya tidak kaya atau gagal tetapi tidak dilaporkan.
“Ada ahli keluarga saya yang miskin seperti ‘church mouse’ (sangat susah),” kata bekas perdana menteri itu.

“Saya tidak boleh menghalang mereka dari melakukan perniagaan. Kadang-kadang mereka gagal tetapi tidak dilaporkan. Bila mereka berjaya, aaah…macam orang lain juga. Kalau gagal tidak dilaporkan,” katanya pada sidang media di Bilik Ketua Pembangkang di Parlimen hari ini.

Sebelum ini, PAS Kubang Kerian mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan hasil siasatan terhadap dakwaan kekayaan ahli keluarga Dr Mahathir.

Wakilnya, Azmi Mat Husin berkata kemewahan yang dimiliki keluarga berkenaan sangat luar biasa kerana seorang anak Mahathir, Tan Sri Mokhzani tersenarai antara orang terkaya di Malaysia.

Sebelum itu, media melaporan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz turut menggesa SPRM melakukan siasatan kerana “nak tahu bagaimana anak-anak beliau tiba-tiba menjadi kaya”.
Dr Mahathir mempersoalkan mengapa kejayaan ahli keluarganya tidak dipersoalkan selama 22 tahun dia menjadi perdana menteri.

“Masa saya perdana menteri, ‘depa’ kaya tak? Tidak ada berita angin tentang anak saya menjadi sangat kaya. Jika mereka kaya sekarang ia usaha mereka sendiri.
“Mereka berhak menjadi kaya raya jika mereka boleh,” katanya.

2 comments: