(Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR - Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam
(Cuepacs) menafikan dakwaan pihak pembangkang kononnya penjawat awam
menerima tekanan supaya tidak mengundi selain Barisan Nasional (BN) pada
Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.
Presiden Ceupacs, Datuk Azih Muda berkata kenyataan Ketua Pengarah
Perkhidmatan Awam, Tan Sri Zainal Rahim Seman sebelum ini juga telah
dimanipulasikan dan di luar konteks maksud sebenar.
''Tindakan mereka ini adalah cubaan menabur fitnah dan seolah-olah
mencampuri urusan kerajaan serta mahu mengajak penjawat awam ke kancah
politik.
''Kenyataan Tan Sri Zainal Rahim Seman adalah merujuk kepada penjawat
awam perlu menghargai kerajaan sedia ada bermaksud mereka perlu membalas
balik sama ada dalam bentuk produktiviti, kerja keras dan komitmen
terhadap tugasan setelah usaha kerajaan selama ini menjaga kebajikan
mereka,'' katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Baru-baru ini, Naib Pengerusi Biro Buruh DAP, Amran Ahmad Nor
mengeluarkan kenyataan mahu melindungi hak-hak demokrasi dalam kalangan
1.6 juta penjawat awam dengan mewujudkan Jawatankuasa Bertindak Pembela
Penjawat Awam.
Ini susulan dakwaan beliau yang menerima aduan daripada guru mengenai
cubaan oleh pihak tertentu yang berniat untuk menakut-nakutkan mereka
untuk tidak mengundi selain daripada BN.
Azih menegaskan kerajaan hari ini sentiasa menjaga kebajikan penjawat
awam dengan menyediakan pelbagai bentuk bantuan dan telah banyak
melakukan penambahbaikan dalam sektor perkhidmatan awam.
''Kami berasa amat terhutang budi dengan kerajaan sedia ada yang sentiasa membuka peluang rundingan antara pekerja dan majikan.
''Kerajaan juga telah menimbang banyak perkara yang telah memberi
keselesaan sedikit kepada penjawat awam untuk keluar daripada kepompong
kemiskinan,'' katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment