Wednesday, March 21, 2018

Mana bandar raya getah Padang Terap?

'Mana bandar raya getah Padang Terap?'
Hari ini lebih 40 orang penoreh dari Padang Terap berkunjung ke Parlimen bertemu dengan ahli-ahli Parlimen Pas menyerahkan memorandum rakyat untuk disampaikan kepada kerajaan.
(Ubah saiz teks) 
 
KUALA LUMPUR – Lima tahun hampir berlalu janji kerajaan membangunkan bandar raya getah di Padang Terap masih tidak nampak bayang.
Hari ini lebih 40 orang penoreh dari Padang Terap berkunjung ke Parlimen bertemu dengan ahli-ahli Parlimen Pas menyerahkan memorandum rakyat untuk disampaikan kepada kerajaan.

Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, kerajaan bukan setakat tidak  mampu mengotakan janji membangunkan bandar raya getah malah gagal  menstabilkan harga lantai getah yang dianggap masih terlalu rendah iaitu sekitar RM 2.20 hingga RM2.40 sahaja.

“Nasib penoreh getah di negara kita agak malang, dah berapa kali kita minta harga lantai getah ditetapkan sekitar RM3.50 hingga RM4 bagi memastikan kualiti hidup penoreh lebih terjamin namun tiada perubahan.

“Biasanya alasan diberikan bahan komoditi jatuh, tapi kita pelik harga tayar motosikal dan kereta tak pernah turun tapi harga getah sekerap tidak pernah naik, aneh juga teori ni,” katanya ketika sidang media di luar pekarangan Parlimen.

Idris yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang berkata, sekiranya berpeluang beliau akan membangkitkan isu harga getah ini dalam bajet tambahan kerajaan, yang bakal dibentangkan dengan peruntukan RM7 bilion bagi membantu meningkatkan kualiti hidup penoreh getah.

Sementara itu, Yang Dipertua Pas Padang Terap, Mohd Azam Abd Majid berkata, sudah berkali-kali penoreh di Padang Terap desak harga lantai RM4 namun tidak pernah diendahkan.

“Bajet untuk bangunkan bandar raya getah RM320 juta tapi setakat ini kawasan tersebut masih hutan rimba, tiada perubahan.
“Bahkan status pengambilan tanah pembangunan itu juga belum berjalan,” ujarnya.

Selain itu, Ketua Pemuda Pas Padang Terap, Nurul Amin Hamid berkata, projek ini janji PRU13 mungkin ia akan dikitar semula kali kedua.
“Bila kita tanya katanya pembangunan infrastruktur akan mula 2019 dan RM60 juta sudah disalurkan untuk urusan pengambilan tanah tapi begitulah tiada sebarang perubahan.

“Manifesto kitar semula kali kedua, nampaknya rakyat ditipu lagi,” tegasnya.
Hadir sama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr Che Rosli Che Mat dan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Muhd Yusoff.

No comments:

Post a Comment