Mastura tidak pernah lupa menyapukan ubat pada badan Mohd Hanif Fadhli.
(Ubah saiz teks)
SEREMBAN - “Kalau selalu minta tolong pun, lama-kelamaan akan menjadi
kebencian orang. Sekarang ini saya hanya berserah kepada-Nya dan hanya
mohon doa orang ramai untuk kesembuhan anak saya.
Demikian luah Mastura Osman, 54, ibu kepada Mohd Hanif Fadhli Mohd
Sofian, 30, yang kini menderita menghidap penyakit kulit plaque chronic
psoriasis tahap kritikal sejak dua tahun lalu.
Seluruh anggota badan Mohd Hanif Fadhli bukan sahaja kemerahan, tetapi
kulitnya bersisik tebal dan akan mengelupas walaupun setelah disapu
dengan ubat yang memerlukan Mastura sentiasa membersihkan tempat
tidurnya.
Anak sulung dari empat beradik itu kini hanya bergantung dengan ubat
steroid, namun kesannya menyebabkan Mohd Hanif sukar untuk bergerak
kerana bandannya menjadi lemah.
“Dia menghidap penyakit ini ketika berusia belasan tahun lagi. Tapi
sejak dua tahun lalu, keadaannya semakin teruk dan membimbangkan.
“Doktor beritahu yang keadaannya tidak boleh pulih. Dia kini hanya
bergantung dengan ubat steroid, tapi kesannya, anak saya kini sukar
untuk bergerak kerana badannya menjadi lemah.
“Kulitnya juga jadi panas dan gatal. Apabila digaru, akan berdarah
menyebabkan dia kini hanya terbaring di rumah,” katanya ketika ditemui
di rumahnya di Bandar Enstek di sini.
Apa yang menyedihkan Mastura kerana Mohd Hanif Fadhli kerap kali
memberitahu yang dia berharap nyawanya diambil segera kerana tidak
tertanggung lagi dengan derita dialami.
Kata Mastura, anaknya itu sangat tertekan lebih-lebih lagi selepas
perkahwinan yang dibina dua tahun lalu berakhir dan kini terpaksa pula
menyusahkan keluarga.
“Sekarang ini hidup saya, Hanif dan dua lagi anak saya yang masih
belajar terpaksa bergantung dengan anak kedua saya yang bekerja sebagai
pembantu jualan di syarikat perumahan.
“Saya tak boleh nak tinggalkan Hanif kerana dia perlukan saya. Itu pun
kadang-kadang saya cuba cari duit dengan bantu kawan berniaga gerai
makan,” katanya.
Ada yang menyarankan Mastura membawa Mohd Hanif Fadhli mendapatkan
rawatan di luar negara, namun terpaksa dilupakan kerana memikirkan kos
yang perlu ditanggung.
Dia bersyukur kerana ada insan prihatin yang sudi membantu menawarkan
rawatan alternatif, namun masih belum diizinkan oleh-Nya untuk sembuh.
“Ramai yang datang membantu bila pertama kali kisah anak saya
dilaporkan Sinar Harian tahun lalu dan kami sangat-sangat menghargainya.
“Kalaulah kesakitan yang dialami itu boleh diganti, mana-mana ibu pun
akan sanggup berkorban nyawa. Tapi saya dah habis ikhtiar dan hanya
mohon doa orang ramai untuk kesembuhan anak saya," katanya yang juga
menerima bantuan bulanan RM280 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat
(JKM) dan RM200 daripada Baitulmal.
No comments:
Post a Comment