PETALING
JAYA: Datuk Seri Nazri Aziz enggan mengesahkan jika berlaku pertikaman
lidah antara beliau dengan pemimpin MCA dan Gerakan berkaitan isu Tan
Sri Robert Kuok dalam mesyuarat Kabinet semalam.
Menteri pelancongan dan kebudayaan itu sebaliknya meminta wartawan
membuat pengesahan dengan individu atau akhbar yang melaporkan perkara
terbabit.
“Anda kena tanya China Press lah sebab saya tak boleh cakap apa yang
berlaku dalam mesyuarat jemaah menteri. Jadi, kalau puncanya daripada
MCA, tanya MCA lah,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.
Ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata, apa yang berlaku dalam mesyuarat Kabinet adalah rahsia.
“Apa yang berlaku dalam jemaah menteri semua itu rahsia, melainkan
kalau perdana menteri sendiri nak bercakap atau ada jurucakap yang
dilantik.”
China Press melaporkan mesyuarat mingguan Kabinet semalam tegang
akibat pertikaman lidah antara menteri Umno seperti Nazri dan rakan
mereka daripada MCA dan Gerakan.
Tiga menteri MCA turut menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap
tindakan Nazri mencabar Kuok bertanding pada pilihan raya umum akan
datang dan menghina hartawan berusia 94 tahun itu.
Mereka adalah Presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Timbalannya,
Datuk Seri Wee Ka Siong dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Ong Ka Chuan
serta Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong
Ia susulan serangan baru-baru ini terhadap taikun berpangkalan di Hong Kong, Tan Sri Robert Kuok yang didakwa menaja DAP.
No comments:
Post a Comment