Saturday, April 21, 2018

BN ada calon 'giant killer' kalahkan Hadi di Marang, kata bekas penyandang

21/4/18

Barisan Nasional (BN) mempunyai beberapa calon yang mampu bertindak sebagai "giant killer" untuk menewaskan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di kerusi Parlimen Marang, kata bekas ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Rahman Bakar.

Beliau pernah digelar “giant killer” kerana menewaskan Hadi 2 kali dalam pilihan raya umum (PRU), dan senjatanya ialah meyakinkan pengundi yang BN jauh lebih baik dalam mentadbir Marang serta Terengganu.

“Apa yang penting ialah kita harus susun jentera PRU dengan baik dan memperkemaskan portfolio parti supaya setiap maklumat yang benar dan telus dapat sampai tepat kepada pengundi, terutamanya pengundi muda, pertama kali dan atas pagar.

“Jentera BN sendiri harus berfungsi sepenuhnya, dari segi penyebaran maklumat, ceramah dan sebagainya. Tidak boleh ada jentera yang mati atau separuh hidup,” katanya ketika dihubungi Bernama. 

Bagaimanapun, dalam memberikan khidmat dan menghulurkan bantuan, “Jangan kira lambang parti, sekiranya ada rakyat yang datang meminta bantuan, selagi layak, berilah, setidak-tidaknya sedikit. Ini yang akan membuatkan mereka berfikir 2 kali ketika hendak memilih calon wakil rakyat nanti”.

Rahman menewaskan Hadi untuk kerusi Parlimen Marang pertama kali pada PRU 1986, ketika berusia 33 tahun, sebelum mengulangi kejayaannya untuk kerusi sama pada 2004 pada usia 52 tahun.

BN, katanya, kini melakukan pelbagai projek pembangunan termasuk penambahbaikan di Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Marang, membina masjid dan balai polis, yang jelas menunjukkan komitmen BN untuk agama, bangsa dan pembangunan negara.   
         
Beliau berkata, untuk masjid sahaja, BN membina 53 masjid di sini bagi kegunaan penduduk dan pelancong berbanding PAS yang hanya mempunyai Masjid Rusila, pusat Hadi (penyandang) memberikan ceramah agama.
“Kita kena terangkan betul-betul kepada pengundi tentang sifat pembangkang yang sebenarnya. Tentang agenda pembangunan yang dipinggirkan sepanjang mereka memegang kerusi Parlimen Marang,” katanya.

No comments:

Post a Comment