Sunday, April 15, 2018

Ramai bekas wartawan hidap barah, lumpuh

Ramai bekas wartawan hidap barah, lumpuh
Akmar Hisham (tiga, kiri) bergambar bersama wartawan veteran Perak yang menerima sumbangan daripada perdana menteri.
(Ubah saiz teks) 
 
TELUK INTAN - Lumpuh dan barah merupakan antara penyakit yang sering terjadi kepada wartawan terutama sekali apabila mereka sudah berumur atau berpencen daripada kerjaya tersebut.

Malah insiden kemalangan juga amat tinggi dalam kalangan pengamal media ini yang mana rata-ratanya menyebabkan mereka terlantar atau tidak boleh bekerja untuk menanggung keluarga.

Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Akmar Hisham Mokhles berkata, pengamal media yang terlibat dalam kemalangan, menghidap barah dan lumpuh merupakan yang paling ramai menerima sumbangan Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Bantuan yang diberikan perdana menteri bukan hanya untuk wartawan sepenuh masa malah juga wartawan sambilan yang ramai di setiap negeri kerana mereka ini tidak mempunyai kelebihan seperti wartawan tetap.

“Daripada kes yang kami terima kebanyakan wartawan tidak mempunyai sumber pendapatan apabila sudah berhenti kerja dan kehabisan wang KWSP untuk merawat penyakit mereka,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan perdana menteri kepada enam wartawan sambilan veteran Perak, di Teluk Intan, petang semalam.

Mengulas mengenai sumbangan yang diberikan kepada enam wartawan sambila veteran di Perak, Akmar Hisham berkata, sumbangan itu merupakan penghargaan perdana menteri terhadap jasa mereka yang rata-ratanya menjadi pemberita lebih 40 tahun.

“Ada di antara mereka masih lagi menjadi wartawan sambilan mencari rezeki dan atas rasa prihatin perdana menteri bersetuju menyumbangkan RM1,000 seorang kepada keenam-enam wartawan ini untuk meringankan beban mereka.

“Semoga dengan pemberian ini akan dapat memberikan mereka semangat kerana mengetahui perdana menteri masih menghargai jasa mereka walaupun sudah bersara menjadi pemberita atau masih menjadi pemberita sambilan,” katanya.
Sinar harian

No comments:

Post a Comment