Sunday, May 6, 2018

Bijakkah pecat tokoh berpengaruh ?

 Daim, Rafidah, Rais
(Ubah saiz teks)
KEPUTUSAN Umno memecat dua bekas pemimpin besarnya dan menyiasat seorang lagi semalam tidak mengejutkan.
Ketiga-tiga menteri kanan di era Tun Dr Mahathir Mohamad itu -Tun Daim Zainuddin, Tan Sri Rafidah Aziz dan Tan Sri Rais Yatim - sudah lama mengkritik pentadbiran parti berkenaan.

Tetapi tindakan begitu pada masa BN/Umno ada banyak perkara yang perlu ditangani adalah satu risiko besar.
Diambil kira PRU14 yang akan berlangsung empat hari lagi, tidak boleh disalahkan kalau ada yang rasa ia tindakan yang tidak bijak.

Apa pun, tentu kepimpinan Umno memberi pertimbangan sedalam-dalamnya sebelum tindakan yang nampak tegas lagi berani itu kerana ia tentu sedar, silap langkah, ia akan memakan diri.
Tentunya tidak bijak jika pemecatan tokoh berpengaruh itu bersandarkan dendam atau emosi.

Setiausaha Agung Umno, Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, mereka perlu tahu mereka melakukan kesalahan apabila berceramah di pentas pembangkang.
Rais, Penasihat Sosial Budaya Kerajaan, telah berkongsi gambar ribuan hadirin di ceramah Pakatan Harapan di Kuantan dan Putrajaya.
“Apakah kehadiran yang ramai begini menandakan tahap sokongan rakyat terhadap sebuah perjuangan?” tanya Rais.

Tanpa menanti jawapan, beliau menjelaskan dalam Twitternya: “ Ya sudah tentu. Umno tak perlu takut; lakukan perubahan”.
Dalam satu lagi twitnya, Rais berkata, dalam keadaan sekarang dan dengan kehadiran lautan manusia, apakah Umno akan pecat ahli (Umno)?”.

Kenyataan yang seolah-olah menyindir parti besar itu tidak sebegitu mencabar dibandingkan dengan komen-komen yang lebih serius sebelum itu, yang menyentuh isu-isu kontroversi, termasuk mengenai kes ahli perniagaan Jho Low dan sikap jentera parti yang didakwa terlalu mengagung-agungkan penggunaan bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu.

Daim pula, yang sebelum ini menegur tentang kelemahan pengurusan negara dan kekurangan keyakinan pelabur, sudah pun menyertai kempen Pakatan Harapan di Kedah secara terbuka.

Daim, ahli perniagaan yang berjaya, menteri kewangan dan bendahari Umno di zaman Dr Mahathir, turut menyentuk isu cukai barangan dan perkhidmatan.
Rafidah mula menegur Umno dan beberapa pemimpinnya sejak di luar Kabinet lebih 10 tahun lalu, tetapi jelas lebih lantang apabila terlibat dalam pertikaman lihat dengan Ahli Majlis Tertinggi Datuk Seri Nazri Aziz sebelum kempen PRU14 lagi.

Rafidah terlibat secara terbuka dalam kempen Harapan dua hari lalu.
Mengenai Rais, Setiausaha Kerja Umno Datuk Seri Ab Rauf Yusof pernah berkata beliau yakin ada pihak salah tafsir teguran yang dibuat Rais.
Beliau tidak anggap teguran Rais terhadap Umno sebagai serangan ke atas kepimpinan parti itu.

Rafidah sudah lama meneropong tindak-tanduk pemimpin Umno, tetapi kemarahan terhadap bekas ketua wanita Umno itu barangkali sampai ke kemuncak apabila beliau secara terbuka mengajak rakyat menukar kerajaan pada PRU yang akan berlangsung Rabu ini.

Rafidah, digelar iron lady kerana ketegasan dan kelantangannya, muncul dalam ceramah Harapan pertama kali di Bukit Piatu, Melaka, malam kelmarin.
Katanya, sejak merdeka negara dijaga baik oleh ‘kontraktor’ yang dipilih rakyat.
Tetapi, katanya, dalam tempoh 10 tahun lalu, kerajaan dilihat melencong.
Itulah punca beliau menolak pentadbiran sedia ada.

Beliau memberi contoh rumah besar yang dimasuki penyangak sebagai anologi yang membuat beliau menolak pentadbiran sekarang.
“Banyak penyangak masuk, curi almari, barang dapur dan macam-macam makhluk perosak serang rumah kita, serangga masuk, anai-anai dah mula rosakkan tiang. Sebab itu saya keluar,” katanya.

Sementara setengah pihak melihat tindakan terbaharu Umno ini sebagai sesuatu yang tegas dan berani, ada pihak menganggap waktunya tidak kena.
“Saya kira Umno bertindak demikian kerana tidak ada pilihan,” kata penganalisis, Profesor Sivamurugan Pandian.
Katanya, kalau boleh, tentulah ia akan tunggu hingga selepas PRU14.
“Tapi, kalau ia tidak bertindak sekarang, barangkali akan ada protes pula (dalam kalangan ahli dan penyokong parti),” katanya.

Ahli Majlis Tertinggi Pusat Bersatu, Datuk A Kadir Jasin berpendapat, tindakan itu akan menaikkan imej dan menambah penghormatan masyarakat kepada mereka.
Calon kawasan Parlimen Pendang, Wan Saiful Wan Jai (Harapan) berpendapat, tiga tokoh itu sayangkan Umno dan mahu memperbaikinya.
“Tapi parti di bawah Datuk Seri Najib (Razak) itu tidak mahu berubah,” katanya.

Seorang lagi pemerhati yang enggan namanya disebut berkata, pemecatan yang dibuat pada hampir tarikh PRU itu mungkin membuat sebahagian  ahli Umno serba-salah, marah dan berpaling tadah.
“Mereka yang di atas pagar akan jadi lebih kritis dengan perjuangan parti itu,” katanya.

Demi imej dan perjuangannya kepimpinan parti itu perlu memberi penjelasan yang boleh meyakinkan ahli, penyokong dan mereka yang di atas pagar sebelum hari buang undi pada 9 Mei ini.
Sinar Harian

No comments:

Post a Comment