27/5/18
WAWANCARA | Mengimbas kembali
keadaan sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14), Ketua Pembangkang Dewan
Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Hasni Mohammad mendedahkan tiada
tanda-tanda perubahan akan berlaku di negeri Umno sehinggalah pengundi
keluar mengundi.
Hasni berkata Umno Johor menjangkakan hilang beberapa kerusi tetapi tidaklah sampai tumbang di pusat pentadbiran Kota Iskandar.
“Kami punya rekod baik mentadbir kerajaan negeri, jadi kami fikir kami boleh menang.
"Tak pernah terlintas di fikiran kami akan berakhir sebagai pembangkang," katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini.
Hasni berkata semua anggota Umno mesti memikul tanggung jawab
kekalahan BN ketika mengulas soalan jika bekas perdana menteri Datuk
Seri Najib Razak patut dipersalahkan kerana gabungan itu kalah kerajaan
persekutuan dan tujuh negeri.
Hasni turut berkata beliau bersetuju Najib melepaskan jawatannya sebagai presiden dan pengerusi BN.
Hasni berkata Tun Abdullah Ahmad Badawi diminta mengosongkan jawatannya selepas kekalahan BN pada pilihan raya umum 2008.
"Malahan, ketika kita kehilangan majoriti (dua pertiga) kita (dalam
parlimen), Pak Lah (Abdullah) diminta pergi, apatah lagi pula apabila
kita kehilangan kawalan kerajaan persekutuan dan negeri.
"Tak perlu disebut, Najib memang perlu letak jawatan," katanya.
Sebelum PRU14, Hasni berkata BN Johor telah memujuk kerajaan
persekutuan untuk memasukkan lebih banyak insentif kepada kerajaan
negeri dalam manifesto BN untuk meredakan ketidakpuasan penyokong
tempatan.
Tiada isu peringkat negeri
"Kami menyatakan dengan jelas bahawa manifesto (BN) itu mesti memberi
kami banyak bantuan kerana kami tahu cabaran kami adalah (isu-isu
mengenai) kepimpinan persekutuan.
"Tidak ada isu di peringkat negeri," katanya.
Hasni menegaskan bahawa manifesto BN berjanji untuk memperluaskan
Lebuhraya Utara-Selatan (bahagian Yong Peng ke Johor Bahru), keretapi
berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Singapura dan Sistem Transit Rapid Johor
Bahru-Singapura.
Walau bagaimanapun, beliau berkata janji-janji ini tidak dapat
mengimbangi kegagalan bekas kerajaan BN dalam menangani skandal utama
negara.
"Kami tidak dapat mempertahankan isu di peringkat persekutuan seperti
1MDB, Mara, Felda malah Tabung Haji. Ini semua isu peringkat
persekutuan dan ia juga mempengaruhi pengundi di Johor.
"Bukanlah kerana orang menganggur selama bertahun-tahun atau mereka
mengundi (HARAPAN) agar tidak membayar PTPTN (pinjaman pendidikan
tinggi) dan bukan kerana orang tidak mempunyai makanan untuk dimakan.
"Ini semua mengenai isu-isu yang tidak diuruskan dengan betul dan ini tidak serasi dengan (kehendak) pengundi," katanya.
Pada pilihan raya umum 9 Mei, Hasni berjaya mempertahankan kerusi DUN
Benut untuk kali ketiga, walaupun dengan majoriti yang lebih kecil.
Beliau menang dengan majoriti 4,447 berbanding calon BERSATU Zulkifly Tasrep dan PAS Mohd Firdaus Jaafar.
Pada pilihan raya 2013, Hasni menang kerusi itu dengan majoriti 6,572 undi.
Daripada 56 kerusi DUN, BN hanya menang 19 berbanding 38 pada pilihan
raya sebelumnya. Bagi kerusi Parlimen di Johor, gabungan itu memenangi
lapan berbanding 21 sebelum ini.
No comments:
Post a Comment