PRU14 | Bekas menteri Umno, Tan Sri Rais Yatim percaya parti itu akan menjadi sejarah jika tidak berubah.
Bagaimanapun beliau menyatakan kebimbangan bahawa sudah terlambat untuk parti itu membuat perubahan.
"Saya tidak suka membuat ramalan tetapi pemerhatian saya - ia (Umno)
akan menjadi sejarah jika ia tidak berkembang menjadi sesuatu yang baru
dengan cepat.
"Tetapi saya rasa sudah terlambat bagi mereka," katanya kepada
wartawan selepas menghadiri ceramah Pakatan Harapan (HARAPAN) di Titi,
Jelebu malam ini.
Rais berkata beliau percaya rakyat sudah membuat keputusan, namun
mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri sementara Datuk Seri
Najib Razak kerana memberi peluang kepadanya untuk berkhidmat sebelum
ini.
Bekas Anggota Parlimen Jelebu itu berkata beliau tidak boleh bercakap
pada ceramah malam ini kerana permit dari pihak berkuasa tidak
menyenaraikannya sebagai penceramah.
Penampilannya juga hanya diputuskan pada saat-saat akhir.
Ditanya sama ada beliau akan memulakan kempen untuk Pakatan Harapan
di seluruh negara seperti dilakukan rakan veteran Umno Tun Daim
Zainuddin dan Tan Sri Rafidah Aziz, Rais berkata beliau tidak memiliki
masa yang mencukupi, dengan hari mengundi hanya berbaki tiga hari sahaja
lagi.
Bagaimanapun, beliau berkata akan melakukan apa yang boleh di Negeri Sembilan.
"Masa tak cukup. Sekarang saya di Jelebu dan Negeri Sembilan dulu.
"Semua boleh berubah, jika rakyat berasa mereka tidak diadili dengan
baik. Apa duit dibagi, itu duit negara, duit itu boleh diambil, tapi
hati mesti berhadap baik," katanya.
Rais berkata beliau juga menasihati HARAPAN untuk menumpukan lebih banyak kempen di kawasan luar bandar.
Semalam, Daim dan Rafidah dipecat dari Umno kerana berkempen untuk pakatan pembangkang itu.
Manakala Rais berdepan siasatan Umno kerana menyatakan pandangan yang dianggap bersimpati terhadap pembangkang.
No comments:
Post a Comment