Ketua umum Pakatan Harapan berkata Kadir tidak wajar
menggunakan kedudukannya untuk menyerang raja-raja dengan fakta yang
boleh dipertikaikan.
PETALING JAYA: Ketua Umum Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim
mengkritik Datuk A Kadir Jasin kerana menggunakan kedudukannya yang
dekat dengan kerajaan untuk menyerang raja-raja Melayu dengan fakta yang
boleh dipertikaikan.
Beliau berkata bukan sahaja kata-kata bekas pengarang itu boleh
dipertikaikan, tetapi raja-raja tidak boleh menjawab kata-kata menghina
itu.
“Kita menghormati hak semua orang untuk menyatakan pandangan, tetapi
mereka perlu menunjukkan rasa hormat dan dibuat secara tertib,” kata
Anwar pada sidang media selepas pertemuan dengan wakil-wakil rakyat PKR
di Hotel One World malam tadi.
Beliau mengingatkan Kadir, yang mempertikaikan keperluan Anwar
menemui raja-raja Melayu, bahawa Pakatan Harapan berusaha keras untuk
mendapatkan sokongan raja-raja Melayu.
“Kami menghabiskan banyak masa dan usaha untuk mendapatkan raja-raja
Melayu untuk melindungi pentadbiran ini dan memastikan peralihan kuasa
yang lancar, dan menyakinkan mereka bahawa kita akan melindungi hak
Melayu, raja-raja dan agama.”
Kadir dalam catatan blog peribadi hari ini mendakwa kira-kira RM257
juta digunakan untuk perbelanjaan hidup dan peribadi Sultan Muhammad V
dalam tempoh 16 bulan sejak dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong.
Beliau berkata secara purata RM16 juta sebulan dibelanjakan antaranya
ke atas penginapan, kediaman, barangan peribadi, pesawat, pengangkutan,
pakaian Agong, hadiah dan cenderamata, kunjungan luar negara serta gaji
kakitangan istana.
Kadir berkata, jumlah yang dibelanjakan untuk perbelanjaan Agong
menunjukkan raja Melayu tidak memerlukan jaminan kedudukan mereka tidak
terjejas.
Beliau berkata demikian susulan kenyataan Anwar, yang juga bakal
perdana menteri PH, yang pertemuan dengan beberapa sultan baru-baru ini
bertujuan meyakinkan mereka mengenai komitmen PH mempertahankan
institusi raja.
Kadir pernah menyarankan pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad menilai
semula tindak balas raja-raja Melayu, atau mereformasikan institusi itu
jika perlu, selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
mengadu “hampa” dengan tindak balas majlis terhadap aduan berkenaan
1MDB.
Beliau seorang ahli Jawatankuasa Pembaharuan Institusi di bawah
Majlis Penasihat Kerajaan dan ketua media dan komunikasi majlis itu.
Sejurus dibebaskan dari penjara bulan lalu, Anwar mengadakan satu
siri perjumpaan dengan raja Melayu. Anwar malam tadi menjelaskan
pertemuan ini membantu PH dan menyingkirkan persepsi negatif terhadap
gabungan itu, yang dianggotai PPBM, PKR Amanah dan DAP, yang sering
didakwa anti-Melayu dan anti-Islam.
“Esok saya bertemu dengan Sultan Kedah dan Terengganu. Saya lakukan
semua ini dengan hubungan yang saya ada untuk membantu kerajaan dan
perdana menteri,” katanya.
Pada sidang media hari ini, perdana menteri ketika ditanya pemberita
FMT berkata kerajaan akan menyiasat dakwaan tentang perbelanjaan hidup
dan peribadi Agong.
Kontroversi ini timbul selepas media melaporkan ada kebuntuan dalam pemilihan Tommy Thomas sebagai peguam negara.
Anwar bertemu Sultan Muhammad V pada malam 4 Jun sebelum Majlis
Raja-raja Melayu bersidang untuk membincangkan pemilihan Tommy, dan
keesokan pagi nama Tommy yang dicadangkan PH itu dipersetujui dan
diterima.
No comments:
Post a Comment