Monday, June 4, 2018

Hal syariah bukan bidang kuasa Peguam Negara

Hal syariah bukan bidang kuasa Peguam Negara
Shad Saleem
(Ubah saiz teks)
PETALING JAYA - Idea mengenai Peguam Negara seharusnya dalam kalangan orang Melayu dan Islam supaya boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai perkara berkaitan syariah adalah bertentangan dengan apa yang digubal dalam Perlembagaan Persekutuan.

Memetik laporan MStar, pakar undang-undang perlembagaan, Prof Datuk Dr Shad Saleem Faruqi berkata, perkara 145(3) meletakkan sebarang prosiding yang membabitkan mahkamah syariah di luar kuasa Peguam Negara.

Katanya, klausa tersebut menyebut Peguam Negara mempunyai kuasa untuk mendakwa dalam semua perkara kecuali perkara berkenaan mahkamah syariah, mahkamah anak negeri atau mahkamah tentera.

"Pertikaian mengenai pelantikan seorang Peguam Negara bukan Islam adalah tidak berperlembagaan, boleh dikatakan sebagai tidak masuk akal.


"Peguam Negara mestilah individu yang serba boleh. Dalam keadaan sekarang, kualiti yang paling penting adalah seseorang itu perlu terikat kepada konstitusionalisme dan memahami undang-undang asas kita, Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Bagaimanapun, katanya, di bawah Perkara 3(5) Perlembagaan, sebuah majlis boleh diwujudkan oleh undang-undang bagi menasihati Yang di-Pertuan Agong berkenaan hal ehwal agama Islam.
"Jadi, tiada masalah sekiranya Peguam Negara adalah orang bukan Islam," katanya.

Beliau berkata, Malaysia pernah mempunyai Peguam Negara bukan Melayu sebelum ini.
Ini termasuk Thomas Vernor Alexander Brodie (1955-1959) dan Cecil M Sheridan (1959-1963) semasa negara merupakan Persekutuan Tanah Melayu.

Bagaimanapun, selepas itu kesemua perlantikan adalah dalam kalangan orang Melayu dan Islam.

No comments:

Post a Comment