Sebut sahaja nama Mat Sabu satu Malaysia tahu dan kenal dengan sosok
ini. Pada hari ini - setelah Pakatan Harapan menjadi kerajaan - mustahil
masih ada warga Malaysia yang tidak pernah mendengar nama ini. Nama ini
saya tambah pula dengan perkataan abang untuk menjadi Abang Mat Sabu.
Sebenarnya ada kisah di belakang kisah. Ada cerita di belakang cerita,
Pada Ahad 8/12/1974, secara rasmi saya menghilangkan diri lesap dari
Universiti Malaya. Saya menyeludup ke bawah tanah. Beberapa tahun
kemudian saya muncul di beberapa kota besar dalam dunia.
Setelah berkelana selama 20 tahun, pada November 1994 saya kembali
pulang ke Lapangan Terbang Subang. Tapi bukan riwayat ini yang ingin
saya bongkar.
Saya mahu menyelongkar kisah Abang Mat Sabu.
Saya pulang kembali ke kampung Chenor, Jelebu Negeri Sembilan. Saya
disambut kaum keluarga, kawan-kawan dan sahabat -handai. Bukit Aman juga
telah menghantar dua orang pegawai Cawangan Khas (SB) untuk menjaga di
luar pagar depan rumah agar saya tidak lari lagi. Kerana tiga hari
kemudian saya wajib menyerah diri untuk di ISA-kan.
Kepulangan saya disambut dengan kenduri doa selamat. Selesai semua,
lewat malam, para tamu, kawan-kawan dan keluarga yang datang minta diri
untuk pulang. Salah seorang yang minta diri pulang ialah Pak Cik Jalal.
Sebelum pulang Pak Cik Jalal memasukkan satu kaset ke dalam poket baju
saya.
“Ada masa dengar,” pesan Pak Cik Jalal. Saya tak ambil pot. Hanya berterima kasih.
Pak Cik Jalal ini adalah adik kepada ayah saya. Di Kota Kuala Lumpur
dan untuk para aktivis Pakatan Harapan Pak Cik Jalal dikenali sebagai
Pak Amjal - nama pemilik restoran di hadapan pintu masuk Universiti
Malaya. Dulu Pak Amjal ini ‘orang kuat parti Islam PAS’. Kini Pak Amjal
telah menjadi orang kuat AMANAH.
Malam ketiga di kampung saya menerima hakikat saya bukan lagi warga
Brixton London. Saya bukan lagi di Eropah. Saya wajib melupakan hidup
lama. Lalu saya memasang kaset yang diberi oleh Pak Cik Jalal.
Dari kaset saya mendengar suara jantan yang tidak saya kenali.
Awalnya saya tak ambil peduli sangat tetapi masuk ke minit ke tujuh saya
mula memasang telinga untuk mendengar lebih teliti apa yang disuarakan
oleh jantan ini.
Si jantan ini jelas bercakap tentang politik Malaysia. Jantan ini
bercakap teratur, tuntas dan jelas. Ini menjadikan saya tertarik. Saya
bertanya - siapa jantan ini? Hakikatnya jantan ini telah memberi saya
kuliah politik pertama sepulang dari 20 tahun berkelana.
PRU9 sampai. Ketika ini saya masih lagi bau bau bacang dengan politik
Malaysia. Saya belum kenal ramai orang yang terlibat dalam politik.
Kempen PRU9 1995 makin rancak. Pada satu malam, saya diberitahu bahawa akan ada ceramah kempen politik di Pantai Dalam.
Jantan propagandis hebat
Malam itu dari Bangsar saya meredah ke Pantai Dalam. Ceramah malam itu dalam kawasan binaan flat-flat yang masih belum siap. Antara tiang-tiang tercacak dan tembok bangunan saya mendengar ceramah.
Malam itu dari Bangsar saya meredah ke Pantai Dalam. Ceramah malam itu dalam kawasan binaan flat-flat yang masih belum siap. Antara tiang-tiang tercacak dan tembok bangunan saya mendengar ceramah.
Ketika saya sampai ceramah telah bermula. Saya terdengar suara jantan
yang agak serak tapi jelas dan kuat. Ucapan jelas, terang dan teratur.
Macam saya pernah dengar suara ini.
Paling menarik ucapan jantan ini diselang seli dengan kata-kata yang
amat melucukan. Saya terpegun. Saya terfikir jantan ini seorang
propagandis yang hebat.
Jantan ini memiliki keupayaan mengahwinkan babak politik yang disira
dengan humor Melayu. Dari ilmu komunikasi inilah teknik terbaik.
Memecahkan babak politik melalui humor. Dengan sandaran humor babak
politik akan menyerap masuk untuk diingati dengan lebih pantas. Humor
melalaikan pendengar dan ketika ini propaganda menerobos masuk. Ini satu
keilmuan yang unggul. Tidak semua penceramah memiliki keupayaan ini.
Ceramah tamat dan saya terdengar suara laungan, “Mat, Mat, pantun Mat.”
Baru saya sedar jantan berceramah ialah Mat Sabu. Saya membuka mata, inilah suara dari kaset Pak Cik Jalal. Saya tersenyum puas pada malam itu. Misteri kaset telah selesai.
Baru saya sedar jantan berceramah ialah Mat Sabu. Saya membuka mata, inilah suara dari kaset Pak Cik Jalal. Saya tersenyum puas pada malam itu. Misteri kaset telah selesai.
Pada 20 September 1998, Anwar dibuang dari kabinet kerajaan. Anwar dituduh meliwat. Gerakan REFORMASI lahir.
Pada 24 Oktober 1998 saya ditahan di hadapan Sogo. Esoknya pada hari
Ahad terpampang berita di muka depan akhbar, Mahathir menuduh saya
menjadi dalang reformasi jalan raya. Maka dari sini bermula penglibatan
saya dalam gerakan reformasi yang manifestasi dari politik jalan raya.
Pada 10 April 2001 sepuluh aktivis Reformis ditahan bawah ISA. Enam
Reformis - Ezam, Tian, Dr Badrul, Lokman, Shaari dan saya dihantar ke
Kamunting untuk ditahan selama dua tahun. Gerakan jalan raya menjadi
reda untuk sementara.
Setelah keluar dari Kamunting saya terus mengajukan politik jalan
raya sebagai pedoman - taktik dan strategi unggul untuk merampas kuasa.
Pada 2007 NGO BERSIH lahir. Kini politik jalan raya beralih dari
Gerakan Reformasi ke BERSIH yang menuntut pilihan raya adil. Abang Mat
Sabu dari BERSIH1 telah memainkan peranan yang amat penting.
Dalam BERSIH 2.0 saya telah menjadi anggota pemandu. Secara
gelap-gelap saya dan Mat Sabu telah mengadakan kerjasama politik. Banyak
kali mesyuarat sulit dan tidak rasmi diadakan tanpa pengetahuan
pengerusi BERSIH. Kami merancang teknik dan taktik ke jalan raya. Kami
mengadakan perbincangan ‘gelap’ kerana NGO BERSIH mengakui dirinya non
partisan - tidak menyebelahi sesiapa.
Non partisan adalah ‘garis mimpi’ yang dipercayai oleh banyak NGO
hingga ke hari ini. Para aktivis NGO tidak sedar dalam gelap-gelap parti
politik telah memberi sokongan yang amat kuat untuk kejayaan BERSIH.
Sesudah kejayaan BERSIH1 Mat Sabu telah dinobatkan sebagai komander
politik jalan raya. Dari - BERSIH 2/3/4 hingga 5, kejayaan bergantung
kuat dengan kerjasama saya secara ‘gelap’ dengan Mat Sabu.
Cap jari, tanda tangan Mat Sabu
Tanpa Mat Sabu ikut serta atau terlibat mustahil gerakan jalan raya
akan berjaya. Mat Sabu memainkan peranan penting dalam himpunan
anti-GST. Mat Sabu memimpin Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR112) pada 12
Januari 2013. Lebih dari 400,000 rakyat berhimpun di Stadium Merdeka.
Hakikatnya segala gerakan jalan raya dan himpunan jalan raya, cap
jari dan tanda tangan Mat Sabu diperlukan. Abang Mat Sabu wajib ada
bersama. Dari pengalaman saya jika Abang Mat Sabu tidak turun maka
rakyat tidak akan yakin untuk turun bersama.
Sekarang saya berani merakamkan bagaimana Himpunan Kebangkitan
Rakyat, demo BERSIH 2/3/4 dan 5 dirancang. Dari rakaman sejarah semuanya
bertelur, dieramkan dan menetas di Old Town Cafe, Brickfield.
Di tepi kafe ini saya selalu melontarkan idea politik jalan raya.
Biasanya idea ini akan disambut oleh Mat Sabu. Pada tahap ini kerjasama
saya dengan Mat Sabu telah menjadi lumrah dan wajib.
PRU14 sampai. Kempen Jelajah Pakatan Harapan akan bermula pada 25
Februari di Melaka. Satu hari sebelum Jelajah bermula satu mesyuarat ‘
gelap’ telah diadakan dalam sebuah bilik di Hotel Grand Dosett. Subang
Jaya.
Para pemikir dan para aktivis yang diyakini telah dijemput untuk
berbincang dan merancang strategi kemenangan PRU14. Mat Sabu menjadi
jurumudi - juragan dalam ‘mesyuarat gelap’ ini.
Dari ‘mesyuarat gelap’ ini diputuskan garis politik dan tema kempen.
Maka lahir - PRU14 Pakatan Menang Kecuali Ditipu. Saya ditugas
mempropaganda melalui blog Tukar Tiub dan alam siber.
Justeru ini garis politik yang saya jaja, yang saya hebohkan untuk
menghasut orang ramai di semua ceramah jelajah. Melalui Mat Sabu saya
berjaya mencelah untuk menjadi penceramah jelajah - walaupun saya bukan
ahli parti jauh sekali pemimpin parti. Saya memakai baju BERSIH untuk
menghasut.
Jelajah Pakatan Harapan bermula di Melaka, Taiping, Seremban, Bachok,
Guar Cempedak, Utan Aji, Pasir Gudang, Dungun, Kuantan dan kembali ke
Melaka untuk ‘grand finale’ pada 4 Mei di Melaka.
Dua sosok yang menjadi Tembok Berlin dan kereta kebal T-14 Armata
ialah Mat Sabu dan Mahathir Muhamad. Dua sosok ini telah berjaya
menjadikan jelajah satu senjata yang begitu ampuh untuk memenangi hati
rakyat.
Mat Sabu dan Mahathir telah berjaya meyakinkan anak semua bangsa,
bangsa semua agama dan terutama Bani Malayu untuk menolak United Malays
National Organisation dan menghumbankan Najib dan Rosmah.
Mahathir berceramah dengan bahasa pengucapan yang senang dan jelas
telah dibantu dan disadur oleh Mat Sabu dengan kesah lawak politik yang
meyakinkan.
“Najib pengerusi 1MDB nak pinjam duit dari Najib menteri kewangan
yang wajib meminta diluluskan oleh Najib perdana menteri yang kena
bertanya dengan isteri Najib, Rosmah.”
Ketawa terbahak-bahak
Sebut sahaja nama Rosmah satu padang bola akan ketawa terbahak-bahak.
“Najib minta duit dari Najib untuk Najib bayar hutang 1MDB.”
Sekali lagi pendengar ceramah ketawa. Ini adalah contoh terbaik propaganda politik yang menyerap masuk melalui humor.
Sekali lagi pendengar ceramah ketawa. Ini adalah contoh terbaik propaganda politik yang menyerap masuk melalui humor.
Pembodek Najib mempertikaikan biologi Mahathir. Umur telah lanjut.
Tohmahan ini telah dijawab dengan tuntas dan penuh humor oleh Mat Sabu.
Mat Sabu di pentas ceramah. Mahathir duduk di tepi pentas. Mat Sabu
tanpa dirancang telah meminta Mahathir mengambil pen dari poket bajunya.
“Tun boleh angkat pen atau tidak?” Mat Sabu bertanya. Mahathir dengan senyum mengangkat pen dan menunjukkan pada orang ramai.
“Inilah kerja perdana menteri. Boleh angkat pen, bukan berat, boleh
tanda tangan untuk tangkap Najib. Kerja Perdana Menteri bukan membajak
atau turun tangkap ikan.”
Pendengar ceramah terbarai ketawa. Mahathir tersenyum puas.
Pendengar ceramah terbarai ketawa. Mahathir tersenyum puas.
Selepas Mat Sabu penceramah akhir pastilah Mahathir. Setelah beberapa
kali berceramah bersama kini Mahathir dan Mat Sabu telah menjadi satu
suara, satu item, yang bantu membantu. Kini giliran Mahathir pula
menjawab Mat Sabu dalam longat Kedah.
“Dia ni dulu musuh saya. Sekarang tak lagi. Saya panggil dia Abang Mat walau pun dia ni lebih muda dari saya.”
Satu padang bola ketawa.
Dalam sejarah tanah air kita bertemu pasangan Ramlee dan Saloma,
Nordin Ahmad dan Latifah Omar. Dari Holywood ada pasangan Humphrey
Bogart dengan Lauren Bacall.
Dalam politik revolusi Tiongkok kita bertemu dengan Mao Zedong dan
Zhou Enlai. Dalam Revolusi Bolshevik Rusia kita bertemu dengan Lenin dan
Trotsky.
Justeru, dalam gerakan meruntuhkan United Malays National
Organisation dan menghumbankan Najib dan Rosmah negara kita telah
dihadiahkan dengan pasangan Mahathir dan Abang Mat.
Semua berpasangan. Semua bantu membantu. Tanpa satu tak hadir maka
suasana tempang. Ini hakikat dari apa yang saya perhatikan. Ceramah Mat
Sabu tanpa Mahathir tak cun. Ceramah Mahathir tanpa Mat Sabu tak mantap.
Dua dua wajib bersama.
Apakah ini sahaja gandingan Tembok Berlin dengan Tank Rusia? Sabar dulu tunggu minggu hadapan.
HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.
Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
No comments:
Post a Comment