(Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR - "Beri kami ruang dan masa tunaikan janji," kata Timbalan
Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengenai
pelaksanaan janji manifesto Pakatan Harapan (Harapan) selepas berjaya
membentuk kerajaan susulan kemenangan pada PRU14.
Menyedari Harapan kini 'diserang' pembangkang yang menuntut janji-janji
PRU14 dilaksanakan segera, Dr Wan Azizah berkata, kerajaan sedang
berusaha melunaskan segala janji.
Katanya, Harapan baru sebulan mengambil alih pentadbiran negara, dan
masih mempunyai masa terutama dalam menunaikan 10 inisiatif dijanji
dilaksanakan dalam 100 hari pemerintahan.
"Kita perlukan pembangkang yang baik untuk semak dan imbang, tetapi ini baru 30 hari, ada 70 hari lagi.
Jadi kita ada sedikit ruang...ada 70 hari lagi, sabar dan tunggu.
Insya-ALLAH kita akan tunaikan sedaya upaya yang kita boleh," katanya.
Bagaimanapun, Dr Wan Azizah berkata, beberapa inisiatif telah mula
dilaksanakan seperti kadar sifar peratus Cukai Barang dan Perkhidmatan
(GST), yang kemudiannya akan dimansuhkan pada sesi pertama sidang Dewan
Rakyat tahun ini.
"Harga petrol RON95 stabil dan tidak diapungkan, jadi lain-lain kita
usahakan supaya pengauditan dilakukan dan bagaimana kita mengurus
kerajaan itu telah berjalan dan boleh dilihat," katanya.
Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan
Masyarakat berkata, pihaknya juga sedang berusaha merealisasikan skim
caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada suri rumah.
"Cuma pada masa ini, ada kekangan sedikit kerana Seksyen 51 Peraturan
KWSP, tidak memberikan ruang pengambilan dua peratus daripada 11 peratus
caruman suami kepada isteri yang tidak bekerja. Ini kita cuba
mengatasinya," katanya.
Jelas beliau, Harapan membuat janji-janji berdasarkan anggaran maklumat
yang diperoleh sebelum memenangi PRU14 pada 9 Mei lepas.
Namun, katanya, setelah mengambil alih Putrajaya, barulah mereka
menyedari situasi sebenar kewangan dan kelompongan tadbir urus kerajaan
sebelum ini.
Antara 10 janji 100 hari PH yang lain termasuk mengembalikan semula
subsidi minyak secara bersasar; menangguhkan pembayaran semula pinjaman
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi individu
berpendapatan bawah RM4,000; menghapuskan hutang-hutang tidak wajar yang
dipaksa ke atas peneroka Felda dan menyamaratakan gaji minimum. -
Bernama
No comments:
Post a Comment