Friday, June 29, 2018

Surat rahsia dari Sirul untuk Dr Mahathir

Surat rahsia dari Sirul untuk Dr Mahathir
Surat yang dihantar Sirul Azhar kepada Dr Mahathir.
(Ubah saiz teks)
SYDNEY - Bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Koperal Sirul Azhar Umar mengutus sepucuk surat kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Surat tersebut disampaikan melalui Ahli Jawatankuasa Biro Komunikasi dan Mobilisasi Pakatan Harapan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang kini berada di Sydney, Australia.

Namun, kata Khairuddin, beliau tidak mengetahui isi kandungan surat tersebut dan akan menyerahkannya kepada Dr Mahathir apabila pulang ke Malaysia.
“Surat peribadi tersebut telah diletakkan di dalam sampul yang tertutup dan akan saya sampaikan kepada Perdana Menteri apabila pulang ke tanahair dalam beberapa hari lagi.

“Dalam pertemuan ini juga, Sirul Azhar telah membayangkan bersedia untuk memberi kerjasama yang sewajarnya kepada pihak penguatkuasa undang-undang Malaysia kerana yakin secara sepenuhnya terhadap institusi kerajaan Pakatan Harapan yang amat telus serta profesional,“ katanya dalam satu kenyataan, sebentar tadi.

Sementara itu, kata Khairuddin, Sirul Azhar juga dilihat bersemangat dan tidak lagi dibelenggu perasaan takut selain menyatakan kerinduannya kepada keluarga di tanah air.  

“Sirul Azhar kelihatan sihat serta tenang di kem tahanan Villawood yang mana beliau telah ditahan hampir selama lima tahun sehingga kini. Insya-ALLAH, saya amat yakin kebenaran mengenai kes pembunuhan Altantuya Shaaribu akan menyebelahi pihak yang teraniaya akhirnya!,” katanya.

Pada 9 April 2009, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman mati ke atas Azilah dan Sirul Azhar selepas mendapati mereka bersalah membunuh model Mongolia Altantuya Shaariibuu, 28 tahun, di Mukim Bukit Raja, Shah Alam antara jam 10 malam pada 19 Oktober dan jam 1 pagi pada 20 Oktober 2006.
Pada 23 Ogos 2013, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Azilah dan Sirul Azhar serta membebaskan mereka daripada tuduhan itu.

Bagaimanapun, pada 13 Jan 2015, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan pihak pendakwa dan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan serta memutuskan bahawa Sirul Azhar dan Azilah Hadri bersalah dan menjatuhi hukuman gantung sampai mati terhadap mereka.

Sebelum ini, akhbar dan beberapa portal tempatan melapor dengan memetik sumber daripada The Guardian, sebuah akhbar harian Britain sebagai menyebut bahawa pihak berkuasa Australia telah meluluskan permohonan Malaysia untuk mengekstradisi pesalah, Sirul Azhar dan dijangka pulang ke tanah air dalam tempoh sebulan.

Akhbar itu dilapor berkata bekas pegawai polis itu yang disabit dan dijatuhi hukuman mati atas tuduhan membunuh Altantuya akan meninggalkan Australia selepas Malaysia bersetuju untuk menampung kos kepulangannya.

Bagaimanapun, peguam keluarga Altantuya, Ramkarpal Singh sebelum ini memaklumkan, tiada keperluan untuk membawa pulang Sirul Azhar dari Pusat Tahanan Villawood di Sydney kerana petunjuk baharu itu kerana apa yang lebih penting adalah mencari motif dan membawa dalang di sebalik pembunuhan kes berprofil tinggi itu ke muka pengadilan.

No comments:

Post a Comment