Friday, July 6, 2018

Parlimen nafi hidang menu mewah

Sinar Harian
Tengku Nasaruddin Tengku Mohamed
Tengku Nasaruddin Tengku Mohamed
(Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR - Parlimen Malaysia menafikan menyediakan menu sajian mewah daging wagyu berharga RM2,000 kepada Ahli Parlimen pada perasmian pembukaan Persidangan Parlimen ke-14 semalam.

Setiausaha Bahagian Komunikasi Korporat Parlimen, Tengku Nasaruddin Tengku Mohamed berkata laporan yang dikeluarkan oleh seorang pengguna media sosial dan ditular di laman sosial berhubung perkara itu adalah sama sekali tidak tepat serta mengelirukan.

“Parlimen tidak pernah berbelanja mewah untuk tujuan tersebut. Perbelanjaan adalah mengikut tatacara kewangan yang telah ditetapkan.
“Kadar kelayakan bagi majlis tersebut adalah RM120 untuk seorang tetamu namun Parlimen hanya meluluskan RM50 untuk seorang bagi tujuan tersebut, di mana jumlah keseluruhan kos hidangan meja utama seramai lapan orang tetamu adalah RM400,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tengku Nasaruddin berkata menu daging wagyu yang telah ditularkan itu merupakan menu tambahan yang disediakan pihak katerer bagi meraikan pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu dan bukan dipesan oleh pihak pengurusan Parlimen Malaysia.

Beliau berkata menu tersebut juga hanya disediakan di meja makan utama untuk lapan orang tetamu dan tidak disajikan kepada semua jemputan.

Dalam pada itu, menurut Tengku Nasaruddin adalah menjadi keutamaan dan amalan pentadbiran Parlimen Malaysia untuk memastikan bahawa tatacara perolehan sentiasa dipatuhi sepenuhnya tanpa kompromi dalam semua perolehan yang dilaksanakan.

“Parlimen Malaysia juga kesal dengan penyebaran isu berkaitan sajian mewah tersebut kerana maklumat yang disampaikan tidak tepat sama sekali.

“Kami juga berharap isu ini tidak berpanjangan bagi menjaga imej dan identiti Parlimen sebagai badan perundangan tertinggi negara,” katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment