Monday, July 2, 2018

Rafizi gesa pelarasan harga elektrik ditangguhkan

 | July 2, 2018
Pelarasan harga elektrik akan dijadikan alasan oleh peniaga untuk tidak menurunkan harga barang walaupun GST dihapuskan.
PETALING JAYA: Harga elektrik baru akibat pelarasan mekanisme
 kos tidak berimbang (ICPT) akan menggagalkan usaha kerajaan 
Pakatan Harapan untuk mengawal harga barang.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, berkata walaupun kerajaan cuba sedaya upaya untuk meringankan beban rakyat dengan mengenakan surcaj ICPT hanya kepada pengguna bukan domestik, perkara ini perlu diperhalusi lagi.
Katanya, pelarasan harga elektrik yang berkuat kuasa 1 Julai ini memberi kesan secara langsung kepada pengguna domestik dan bukan domestik.
“Pengguna bukan domestik tidak lagi mendapat rebat sebanyak 1.52 sen setiap kilowatt jam (kWj) yang digunakan, bermakna harga elektrik naik 1.52 sen setiap kWj.

“Pada masa sama, pengguna bukan domestik akan membayar surcaj ICPT sebanyak 1.35 sen setiap kWj, menjadikan jumlah kenaikan tarif bersih untuk pengguna bukan domestik adalah sebanyak 2.87 sen setiap kWj,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rafizi berkata, pengguna domestik melebihi 300 kWj tidak lagi menerima rebat 1.52 sen setiap kWj dan akan membayar tarif bersih yang lebih tinggi.
Sementara itu, katanya bagi pengguna bukan domestik, kenaikan tarif bersih sebanyak 2.87 sen setiap kWj adalah bersamaan dengan peningkatan 6.6% tarif asas B (perdagangan bervoltan rendah) yang diguna pakai kebanyakan kedai dan peniaga.

“Saya bimbang kenaikan tarif bersih yang diumumkan ini akan menyebabkan peniaga menggunakan alasan ini untuk tidak menurunkan harga barang walaupun Pakatan Harapan telah menunaikan janji untuk menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST),” katanya.

Beliau berkata, tempoh antara Julai hingga akhir Disember akan datang cukup penting untuk mengelakkan sebarang kenaikan tarif baru yang ditetapkan, serta untuk meneliti reaksi peniaga dan industri terhadap langkah menstabilkan harga barang yang telah dan akan dilaksanakan kerajaan persekutuan.

“Jika GST dan kenaikan harga minyak mingguan dihapuskan, tetapi pada masa sama tarif bersih elektrik naik, peniaga dan industri akan menggunakan alasan ini serta pengenalan SST bermula September ini, untuk tidak menurunkan harga barang kerana mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’.

“Ini juga akan melunturkan keyakinan rakyat kepada kesungguhan dan keikhlasan Pakatan Harapan untuk mencari jalan terbaik membantu rakyat yang menukar kerajaan persekutuan dengan harapan ia akan mengelakkan kenaikan harga barang yang tidak wajar,” katanya.

Rafizi percaya kerajaan persekutuan boleh mempertimbangkan untuk menangguhkan pelarasan ini hingga tahun depan untuk membolehkan kerajaan mengkaji dahulu tindak balas peniaga dan industri terhadap langkah-langkah kerajaan untuk menurunkan harga barang.

Bagaimanapun, untuk berlaku adil kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang menanggung kos bahan api lebih tinggi, beliau mencadangkan kerajaan persekutuan berunding untuk mengambil beberapa tindakan seperti memberi keutamaan kepada TNB mendapatkan kerja penjanaan elektrik baru.

Katanya, ini membolehkan TNB tidak terlalu terikat kepada perjanjian jual beli elektrik dari penjana bebas serta mengkaji semula sebarang perjanjian jual beli elektrik antara TNB dan penjana bebas yang merugikan TNB.

Selain itu, katanya cadangan untuk menangguhkan kenaikan tarif bersih elektrik akan dibawa ke mesyuarat biro politik PKR malam ini, supaya perkara ini disuarakan oleh wakil parti itu dalam Kabinet.

No comments:

Post a Comment