
Baru Bian
(Ubah saiz teks)
KUALA LUMPUR - Menteri Kerja Raya Baru Bian berkata beliau akan
memastikan projek dan perolehan kerajaan di masa depan diselia dengan
teliti bagi menghentikan amalan sebelum ini membabitkan tender dan
kontrak dengan harga yang melambung tinggi.
"Secara peribadi saya akan menganjurkan tender terbuka secara meluas
disebabkan cara ini lebih kompetitif dan sangat adil dari segi
komersial,” katanya.
Beliau berkata, bagi membolehkan perkara ini menjadi kenyataan,
Kementerian Kerja Raya akan bekerjasama rapat dengan kementerian dan
agensi lain dalam memastikan proses dan prosedur yang sewajarnya
dilaksanakan sepanjang proses penilaian perolehan dan teknikal.
Baru berkata, terdapat kebenaran dalam tanggapan umum bahawa sebelum
ini, sungguhpun Kementerian Kerja Raya mempunyai pakar seperti jurutera
dan juru ukur kuantiti, tetapi ia tidak terlibat sepenuhnya dalam proses
penentuan harga projek mega, sekali gus mengakibatkan kos melambung
tinggi bagi projek sedemikian.
"Perkara ini ada kebenarannya. Tetapi Kementerian Kerja Raya kini ingin
memastikan bahawa bagi projek infrastruktur yang dilaksanakan
menggunakan kaedah konvensional atau perbelanjaan pembangunan, kami akan
terlibat dengan aktif dalam menyediakan kepakaran teknikal kami
sepanjang proses penilaian dijalankan bagi menentukan dengan lebih awal
nilai tender,” katanya sebagai menjawab soalan bahawa sebelum ini kos
tersebut ditentukan sebahagian besarnya oleh Kementerian Kewangan atau
agensi lain. - Bernama
No comments:
Post a Comment