Dua bekas diplomat berkata, kunjungan perdana menteri
ke China tidak mudah kerana beliau perlu membincangkan pemansuhan atau
penangguhan projek mega diketuai China.

Dr Mahathir Mohamad kembali ke Malaysia semalam, selepas mengadakan
lawatan rasmi 5 hari ke China. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Dua bekas diplomat menyangkal dakwaan kunjungan
perdana menteri ke China ialah “bencana diplomatik” kerana ia bukan
tugas mudah untuk membangkitkan isu pemansuhan atau penangguhan projek
berbilion ringgit diketuai China disebabkan keadaan kewangan Malaysia
ketika ini.
Datuk Dennis Ignatius dan Datuk Redzuan Kushairi berkata demikian
susulan artikel yang disiarkan Malaysiakini menyifatkan lawatan rasmi
itu sebagai “bencana” kerana tiada perjanjian besar dimeterai.
Artikel itu turut menyatakan Dr Mahathir dalam satu sidang media
berkata, negara kaya tidak patut menjajah negara lain dan syarikat China
terpaksa memberi 30% saham kepada Barisan Nasional untuk projek di
Malaysia, serta ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jhow dipercayai
berada di China walaupun beliau tidak menunjukkan bukti terhadap dakwaan
itu.
Ignatius yang juga bekas duta Malaysia ke Kanada berkata, kunjungan
Dr Mahathir itu menghantar mesej beliau menghargai hubungan baik dengan
China dan komitmennya untuk meningkatkan hubungan itu.
“Ia sebahagian daripada proses diplomatik, politik dan undang-undang
yang panjang serta sukar untuk bebas daripada perjanjian teruk
ditandatangani kerajaan lama.
“Tiada orang mengharapkan penyelesaian cepat,” katanya sambil
menambah tidak realistik untuk sesiapa pun menjangkakan perjanjian besar
dengan China akan berhasil kerana kerajaan Pakatan Harapan baru
mentadbir negara.
Beliau berkata, tidak mungkin Dr Mahathir merujuk kepada China
apabila bercakap mengenai negara kaya menjajah negara lain kerana
perdagangan antara 2 negara lebih memihak kepada Malaysia.
Mengenai hubungan diplomatik, Ignatius mengakui pendapat popular yang
hubungan dengan Beijing adalah baik di bawah pentadbiran Datuk Seri
Najib Razak.
Bagaimanapun, katanya, ia mendatangkan kesan dari segi kontrak berat
sebelah yang menggunakan wang pinjaman untuk pembinaan infrastruktur
yang tidak mampu ditanggung Malaysia.
“Itu bukan hubungan baik yang kita mahu.”
Redzuan yang merupakan bekas duta Malaysia ke Uzbekistan, memuji Dr
Mahathir yang pergi ke Beijing sendiri untuk menjelaskan keadaan
Malaysia kepada pemimpin negara itu.
Katanya, keadaan semasa negara memerlukan kejujuran, keikhlasan dan keterbukaan sebagai pendekatan terbaik.
“Ia lebih baik daripada meneruskan projek itu dan terpaksa berdepan
beban hutang dengan China yang kita tidak mampu tanggung. Beijing
sepatutnya menghormati dan menghargai pendekatan sedemikian.”
Redzuan yang menganggotai kumpulan bekas penjawat awam G25 berkata,
Malaysia mempunyai peranan dalam inisiatif “One Belt One Road” (Obor)
China dan ia tidak akan berjaya jika projek Obor di Malaysia gagal.
“Keputusan Dr Mahathir dalam projek China memberi mereka alasan baik
untuk menilai bagaimana mereka patut memacu Obor, yang jelas memerlukan
tadbir urus baik, ketelusan dan akauntabiliti.”
Semalam, Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong memberi
amaran keputusan Putrajaya membatalkan 3 projek diketuai China akan
menjejaskan hubungan dengan negara itu kerana projek itu sebahagian
daripada Obor.
Melalui inisiatif itu, Beijing melaksanakan projek bernilai AS$926
bilion di sepanjang laluan strategik darat dan laut sejauh 15,000km.
Tiga projek yang dibatalkan itu ialah projek Laluan Kereta Api Pantai
Timur (ECRL), Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP) dan Saluran Paip Gas
Trans-Sabah (TSGP)
No comments:
Post a Comment