(Ubah saiz teks)
TAIPING - Solidariti Tun Mahathir menganggap penganjuran Himpunan
Melayu Bangkit di Pasir Salak, Sabtu lalu adalah satu agenda politik
retorik pihak pembangkang semata-mata untuk 'menyerang' Perdana Menteri,
Tun Dr Mahathir Mohamad dan DAP.
Jurucakap Solidariti Tun Mahathir, Datuk Shaharuddin Abdul Rashid
berkata, himpunan dihadiri beberapa tokoh besar Umno seperti Setiausaha
Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf
Wajdi Dusuki ketika sambutan hari kemerdekaan negara itu adalah satu
usaha provokasi untuk memainkan api sentimen perkauman dan sensitiviti
agama dalam kalangan orang Melayu.
Menurutnya, usaha provokasi dan serangan bersifat rasis sebegini tidak
sesuai lagi diamalkan pemimpin Umno, apatah lagi mereka pernah diberi
mandat memerintah dan mentadbir malah membuat dasar negara sejak lebih
60 tahun.
Katanya, sebagai tokoh-tokoh Melayu berpengalaman, mereka sepatutnya
melihat keberkesanan pentadbiran kerajaan BN ketika memegang tampuk
kuasa dalam tempoh agak lama dahulu.
"Mereka perlu menilai sejauh mana pencapaian dan pemilikan aset orang
Melayu dalam sistem ekonomi yang dasarnya mereka sendiri gubal selama
ini.
"Mereka juga perlu melihat kadar pengangguran graduan semakin
meningkat, bebanan hutang PTPTN ditanggung anak bangsa, kos sara hidup
dan kenaikan harga barang dikaitkan dengan GST
"Tidakkah mereka dapat merasakan bahawa orang Melayu yang paling
tertekan dengan masalah tersebut sebelum ini?"katanya kepada media di
sini hari ini.
[ARTIKEL BERKAITAN: Isyarat Melayu mula bangkit]
Shaharuddin berkata, sepatutnya pemimpin-pemimpin Melayu yang masih
mempersoalkan kemandirian bangsa ini, turut tampil membantu dan
bekerjasama dengan kerajaan baharu di bawah pimpinan Tun Mahathir bagi
mencapai usaha membantu kaum Melayu.
Menurutnya, sebarang inisiatif perhimpunan diselangi ucapan-ucapan
retorik dan provokatif sebenarnya tidak membantu kerajaan hari ini untuk
mencari jalan terbaik membela nasib kaum Melayu.
"Kerajaan hari ini sedang berusaha membaiki permasalahan ekonomi dan
kewangan negara yang 'rosak' dan dikaitkan dengan salah guna kuasa serta
bebanan hutang lebih RM1 trilion.
"Saya yakin harapan orang Melayu di negara ini adalah mahu melihat
semua pemimpin Melayu dari pelbagai parti politik atau NGO bersama-sama
Tun Mahathir menyusun semula sistem kewangan, pengurusan hutang di
samping membuka kembali peluang-peluang pekerjaan dengan usaha menarik
lebih ramai pelabur luar ke negara ini.
"Mereka juga amat berharap usaha pendakwaan terhadap pemimpin-pemimpin
terbabit dalam rasuah dan salah guna kuasa selama ini dapat dijalankan
segera, bukan sekadar memberi ucapan provokatif untuk menakutkan orang
Melayu,"katanya
No comments:
Post a Comment