Friday, September 7, 2018

Penganalisis: Belia buat pinjaman peribadi, kad kredit untuk bermewah

Kerajaan mesti mendidik belia menghayati ilmu kewangan supaya mereka boleh menguruskan belanjawan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Belia Malaysia menanggung hutang kad kredit dan pinjaman peribadi kerana mereka mahu menikmati gaya hidup mewah walaupun bergaji rendah, kata penganalisis ekonomi.
Pensyarah Universiti Tun Abdul Razak (Utar), Prof Barjoyai Bardai berkata masalah gaji yang sangat rendah mendorong golongan muda memohon kad kredit dan pinjaman peribadi untuk berbelanja apabila menetap di bandar besar.

“Peluang mudah yang ditawarkan oleh institusi kewangan mendorong ramai golongan muda membuat pinjaman peribadi, namun akhirnya diisytiharkan muflis akibat gagal melunaskan pinjaman.
“Ada yang diisytihar muflis akibat pelaburan berisiko tinggi dan ada pula yang terperangkap kerana tidak memahami undang-undang.
“Dengan menggunakan kad kredit, mereka boleh berbelanja 10 hingga 20 kali ganda daripada gaji yang mereka perolehi setiap bulan,” kataya kepada FMT.
Sebelum ini Bank Negara Malaysia (BNM) melaporkan 47% belia Malaysia menanggung hutang kad kredit yang tinggi manakala 38% dikenal pasti membuat pinjaman peribadi.

Timbalan Gabenor BNM, Nazrul Hisyam Mohd Noh berkata pada 2017, lebih 3,400 orang yang berusia antara 20 dan 30 tahun mendapatkan kaunseling dan bantuan daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).
Mengulas lanjut, Barjoyai berkata, pihak bank perlu mengetatkan prosedur dalam pemberian pinjaman, terutamanya untuk golongan belia.

“Bagi penyelesaiaan dalam jangka pendek ini, institusi kewangan perlu ketatkan peraturan pengunaan kad kredit dari segi kelayakan dan had pembayaran bulanan agar ia dapat mendisplinkan pengguna.
“Tetapi ia mungkin akan menjejaskan institusi kewangan.

“Belia juga perlu memahami dan menghayati pengurusan kewangan agar mereka boleh belajar menguruskan belanjawan mereka dengan lebih baik dan kurangkan berbelanja.
Katanya, belia perlu dididik untuk menghayati ilmu kewangan supaya mereka boleh menguruskan belanjawan mereka.

“Kerajaan perlu membantu belia mengatur belia yang sudah muflis dengan memberi pendidikan akan mereka belajar dan tidak ulangi kesilapan tersebut pada masa akan datang.
“Kad kredit boleh digunakan pada waktu kecemasan agar ia tidak memakan diri golongan belia yang ingin memenuhi kehandak yang tidak penting.”
FMT

No comments:

Post a Comment