
SHAH ALAM: Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yakin dapat mempertahankan
jawatan timbalan presiden PKR yang disandangnya, walaupun ketinggalan
dari segi jumlah undi kepada pencabarnya, Rafizi Ramli.
Bagaimanapun, menteri hal ehwal ekonomi itu juga bersedia menerima
sebarang keputusan dan akan menghormati keputusan ahli PKR, jika tewas
kepada bekas ahli Parlimen Pandan itu.
“Saya memberikan keyakinan kepada anggota parti untuk membuat pilihan
yang tepat dan saya sedia menerima apa juga keputusan kerana saya kira
itu adalah proses yang kita perlu hormati di atas kematangan anggota
buat keputusan,” katanya dalam “Wacana Bicara Minda Ekonomi Sejahtera
Untuk Semua” hari ini.
Saingan untuk jawatan nombor 2 itu sengit dengan Rafizi
mendahului 48 undi ketika ini dan kira-kira 75% ahli yang layak, belum
mengundi.
Azmin mengingatkan ahli parti, khususnya yang memegang jawatan supaya
tidak bergaduh demi merebut jawatan dalam pemilihan PKR, sebaliknya
perlu terus mengutamakan khidmat terbaik kepada rakyat.
“Saya telah nyatakan ini adalah pemilihan keluarga, janganlah kita bergesel kerana merebut jawatan.
“Saya ingatkan jangan runtuhkan apa yang kita bina. Diharapkan
selepas pemilihan PKR, PKR akan muncul sebagai parti yang kuat. Jangan
terlalu riuh pemilihan parti, tetapi laksanakan tugas kita.
“Dengan mood dan dukungan yang ada, saya boleh nyatakan saya akan
terus diberi tugas dan amanah ini dan saya akan jalankan dengan terbaik
dan bertanggungjawab.”
Katanya, PKR kini berusia 20 tahun, tetapi perjalanannya masih jauh
walaupun berjaya membentuk kerajaan bersama 3 parti komponen lain dalam
Pakatan Harapan selepas pilihan raya umum ke-14 lalu.
Beliau turut mengimbau kembali saat dipenjarakan pada 16 September 1998 pada kemuncak era Reformasi.
“Pada 1998 kemuncak era reformasi, saya orang pertama dicampak ke dalam lokap, lebih awal daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya dipukul, ditelanjang, semua diikat, diaibkan, namun itu ujian
yang perlu saya lalui dan tidak pernah kesal. Ini hasil kita dapat 9 Mei
lepas.
“Ahli PKR telah lihat rekod saya bukan sahaja dalam PKR, tapi masa dalam kerajaan, pengalaman semasa era reformasi.”
Malaysiakini
No comments:
Post a Comment