Thursday, October 18, 2018

Berjuang tanpa harap balasan wang atau kuasa, Azmin nasihat ahli PKR

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Azmin Ali menasihatkan ahli PKR, khasnya golongan muda supaya mencontohi pemimpin lama yang berjuang untuk parti sejak 20 tahun lalu tanpa mengharapkan sebarang balasan dari segi wang atau kuasa.
Calon timbalan presiden PKR itu turut mengingatkan ahli parti supaya menolak amalan politik wang, khasnya sepanjang tempoh pemilihan parti diadakan.

“Anggota khususnya yang muda, yang ingin menawarkan khidmat dalam parti, mereka harus belajar daripada pemimpin-pemimpin lama dalam perjuangan ini yang melalui proses getir berjuang untuk rakyat,” katanya selepas taklimat tertutup Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 kepada ketua pengarang agensi media di bangunan Parlimen hari ini.
Semalam, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilaporkan berkata, Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR akan menyiasat dakwaan Rafizi Ramli berhubung amalan politik wang dalam pemilihan PKR.
Kelmarin, Rafizi berkata, budaya politik wang semakin membimbangkan pada musim pemilihan PKR, oleh itu ahli parti perlu menolak calon yang mengamalkan budaya itu dan memilih calon yang berlaku adil, berkhidmat dan berjuang untuk rakyat di akar umbi.
“Sekarang kita berada di kedudukan yang diuji dengan politik wang kerana akan ada pihak yang menawarkan wang sebab bila dah jadi kerajaan, ramai pihak yang berduit ini akan berminat dengan parti kerajaan,” kata calon timbalan presiden itu.

Hari ini, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Rafizi akan dirujuk kepada JPP dan Jawatankuasa Disiplin untuk disiasat berhubung dakwaan amalan politik wang berlaku dalam pemilihan parti.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat Biro Politik PKR dalam mesyuaratnya malam tadi.
Azmin berkata, semua aduan berkaitan rasuah dalam parti akan disiasat JPP.
“Kita bincangkan secara umum tentang proses pemilihan mestilah telus dan terbuka dan sebarang aduan yang kita terima akan disiasat JPP,” katanya merujuk mesyuarat Biro Politik PKR malam tadi. FMT

2 comments:

  1. Pejuang parti juga perlu kerja dan kehidupan yg lebih baik. ...

    ReplyDelete
  2. So what it is Malaysian cultures. Accepting what is not deserved. Corruption is not only about money.

    ReplyDelete