PETALING JAYA: Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Lokman Noor Adam
mendakwa Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah diberikan
notis serah diri untuk ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM), esok.
Katanya, pemimpin itu juga dijangka akan didakwa agensi itu pada Jumaat ini.
“Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, presiden Umno telah diberikan notis
serah diri untuk ditahan jam 1.45 ptg tadi supaya menghadirkan diri ke
Ibu Pejabat SPRM jam 3.00 ptg esok, 18hb Oktober, 2018 (Khamis) dan
dijangka akan didakwa keesokkan harinya,” katanya dalam satu kenyataan
hari ini.
Justeru beliau mengajak ahli dan penyokong Umno untuk hadir
ke ibu pejabat SPRM dan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menyatakan
solidariti terhadap Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.
“Hadir untuk menyatakan sokongan secara aman bukan merupakan satu kesalahan, usah gentar untuk turun.
“Saya akan hadir pakai baju oren lokap SRPM. Terpulang kepada anda mahu pakai baju apa,” katanya.
Pada 12 Oktober, Zahid dipanggil SPRM untuk memberi keterangan bagi
membantu siasatan ke atas dakwaan penyelewengan dana Yayasan Akal Budi
yang dipengerusikannya sebelum ini.
Ia adalah kali kelima Zahid memberi keterangan berhubung dakwaan wang
RM800,000 milik yayasan itu digunakan untuk membayar bil kad kredit
beliau dan isteri.
Sebelum ini Zahid dilaporkan berkata pegawainya tersilap menggunakan
cek yayasan dan beliau sudah membayar semua wang yayasan milik
keluarganya itu yang digunakan untuk membayar bil kad kredit.
No comments:
Post a Comment