Tuesday, January 15, 2019

Zuraida: Saya berhak keluarkan pandangan

Malaysiakini, 15 Januari  2019
   
Naib Presiden PKR, Zuraida Kamarudin menafikan artikelnya yang diterbitkan Utusan Malaysia dua hari lalu merujuk kepada parti atau presiden parti itu, Anwar Ibrahim.

Beliau berkata ia hanya merupakan 'pandangan umum' yang tidak merujuk kepada mana-mana parti politik mahupun pemimpin.
"Saya tak ada menuduh PKR kerana sebagai seorang ahli politik, sebagai warganegara Malaysia, saya berhak untuk keluarkan pandangan dan apakah visi saya.

"Jadi ini adalah visi politik untuk masa depan, jadi tidak semestinya menuding, menuju kepada sebuah parti tertentu, so pada saya pengamatan saya kepada keseluruhannya, pada amnya," katanya ketika ditemui di seminar politik di Petaling Jaya hari ini.

Pada 13 Jan, Zuraida dalam artikel di Utusan Malaysia berkata pelantikan mereka yang kalah oleh "parti -parti tertentu” nyata tidak menghormati hasrat akar umbi dan merupakan pengkhianatan kepada demokrasi
Beliau berkata perlembagaan parti itu membenarkan presidennya membuat keputusan mengenai perlantikan tertentu, tetapi ia perlu dilakukan melalui rundingan.

Walaupun tidak menamakan mana-mana parti politik atau pemimpin, pandangannya dilihat sebagai serangan terhadap Anwar.
Zuraida bagaimanapun berkata media sendiri menyimpulkan bahawa beliau merujuk kepada Anwar.

No comments:

Post a Comment