ULASAN | Takziah. Kepada siapa senandung takziah ini hendak disampaikan Saya sendiri tidak pasti kepada siapa ucapan takziah ini hendak disampaikan.
Apabila laporan Sarawak Report bertarikh 6 Ogos 2016 yang menyebut "RM90 million is widely reckoned to have flowed into the top echelons of PAS"
(RM90 juta yang telah dianggap menjadi pengetahuan meluas telah
mengalir kepada pemimpin-pemimpin tertinggi PAS) masih terpampang,
sedang armada para pejuang dan peguam yang terbang ke London dengan
wajah singa dan berpatah pulang dengan terkulai layu - ia seakan
mengesahkan laporan itu adalah benar.
Selepas menghabiskan lebih
daripada RM2 juta wang yang sebahagiannya dipungut dari ahli dan
penyokong - yang mendapat laba hanya peguam di London dan kedudukan
laporan Sarawak Report sedikit pun tidak terusik.
Rakaman
audio seorang pemimpin muda PAS yang membuat pengakuan sememangnya wujud
perbuatan menerima wang dari sebuah parti yang pernah digelar asabiyah
oleh pemimpin parti bertunjangkan Islam gagal mendapat peluang untuk
ditolak kesahihannya.
Pengumuman oleh seorang pemimpin kanan parti
itu menjelang PRU lalu bahawa presiden mereka telah mendapat kejayaan
pertama dalam saman berkenaan berlalu dibawa angin ‘penyelesaian tanpa
perlawanan’ dan ‘penyelesaian tanpa kesudahan’.
Tajuk lebih
penting di sini ialah gejala politik wang yang berjangkit, jika benar
dan setakat ini kebenarannya tidak tersangkal, kepada parti Islam.
Sedangkan,
ketika negara dan bangsa kita boleh runtuh kerana gejala rasuah dan
penyelewengan, yang diharapkan untuk menjadi penyelamat adalah
parti-parti alternatif khususnya yang berjenama Islam.
Parti
berjenama Islam memperaga pemimpin dan ahli sebagai bencikan godaan
dunia, cintakan pahala dan takutkan dosa. Bersikap jujur dalam
perjuangan dan bukan mengejar pangkat dan harta. Tidak termakan dengan
godaan dunia dan paling dapat dipercayai.
Apa jadi jika segelintir
pemimpin mereka telah menggadaikan prinsip perjuangan dengan turut
menadah tangan kepada parti perasuah?
Tragedi malang
Cukup
dengan beberapa ekor ‘kuda perhiasan dan ketulan emas dan perak’ yang
diterima, brek perjuangan ditarik dan peluru serangan dialihkan halanya
kepada musuh politik kepada parti berkuasa.
Apa akan kita katakan
jika Muhamad Al Fatih berpaling dari menawan kota Konstantinapol
semata-mata kerana Raja Rom menghadiahkan beberapa ekor kuda dan barang
perhiasan?
Lalu Muhamad Al Fatih berpatah balik sambil
berlenggang menaiki kuda Raja Rom dan menghentikan misi menawan kota
Istanbul selama-lamanya. Belot?Telah dibeli? Berpaling tadah?
Hasilnya, persekongkolan yang kini telah menjadi terbuka. Kepada siapa bangsa dan negara akan berharap? Begitu mudah sebuah perjuangan digadaikan?
Dari sinilah, jauh di lubuk hati saya, episod ini adalah sebuah tragedi malang. Amat malang. Nama baik sebuah parti yang dulu menjadi pengharapan rakyat telah tercemar.
Dalam dunia pemikiran yang jernih, kegagalan mengambil peluang memadamkan dakwaan Sarawak Report, perlu diikuti oleh sesuatu tindakan.
Sama
ada plaintif sendiri mengambil tanggungjawab melepaskan jawatan secara
terhormat. Atau pemimpin yang terlibat menerima sesuatu mengambil
langkah mulia mengundurkan diri.
Atau pemimpin dan ahli yang
bermaruah mengusulkan sesuatu bagi memulihkan integriti parti. Dalam
sesetengah keadaan, integriti Islam juga kerana parti berkenaan sentiasa
mengasosiasi partinya dengan Islam.
Dalam dunia tarbiyah, selalu disebutkan, perjuangan lebih mahal daripada individu. Takziah
itu, akhirnya, saya berikan kepada diri saya sendiri, kepada rakyat
yang pernah berharap, kepada penyokong yang penuh harap, kepada negara
yang kehilangan alternatif lebih berkat dan kepada mereka yang kecundang
dalam percaturan politik wang.
Takziah yang mendalam.
HUSAM MUSA merupakan Naib Presiden Parti Amanah Negara.
Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini
No comments:
Post a Comment