Monday, January 17, 2022

Saham Azam Baki: 'Speaker ada kuasa buka pendengaran PSC pada awam' Diterbitkan: Jan 17, 2022 10:42 AM ⋅ Dikemaskini: 10:42 AM

 

mk-logo
BERITA
1

Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Wong Kah Woh menyangkal kenyataan Speaker parlimen Azhar Harun bahawa perbincangan mengenai saham Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki tidak akan dibuka kepada orang ramai berikutan Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Wong sebaliknya berkata, rakyat ada hak untuk mengikuti mesyuarat jawatankuasa pilihan khas parlimen (PSC) yang telah diaturkan untuk membincangkan perkara itu.

“Speaker tidak betul. Dia ada kuasa untuk memulakan penggantungan Peraturan Mesyuarat dengan merujuknya kepada Dewan untuk diputuskan, menurut Peraturan Mesyuarat 90(2).

“Dengan penggantungan Peraturan Mesyuarat 85, sebarang prosiding jawatankuasa parlimen boleh disiarkan secara dalam talian dan dibuka kepada awam,” katanya dalam kenyataan.

“Speaker juga berkata bahawa prosiding tertutup adalah bagi memastikan kerjasama penuh daripada semua yang terlibat. Ini betul-betul karut,” tegas ahli parlimen Ipoh Timor itu.

Wong berkata, semua saksi sememangnya terikat untuk memberikan kerjasama penuh kepada PSC dan harus menjawab semua persoalan yang dibangkitkan semasa mana-mana prosiding jawatankuasa parlimen.

Katanya lagi, mana-mana individu yang memberikan jawapan palsu bukan sahaja melakukan kesalahan menghina Dewan Rakyat, bahkan boleh didakwa atas kesalahan di bawah Seksyen 193 Kanun Keseksaan, seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 20 Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan kuasa)1952.

“Ketiga, semua nota prosiding adalah direkod dalam bentuk hansard dan akan diterbitkan bersekali dengan laporan jawatankuasa.

“Prosiding tertutup tidak menjamin kejujuran saksi secara automatik, dan prosiding terbuka tidak bermakna saksi boleh mengelak daripada memberitahu kebenaran.

“Tak ada bezanya dalam isu kandungan keterangan saksi, sama ada prosiding itu dibuat secara tertutup atau terbuka,” tambah Wong.

‘Pembaharuan tak lengkap'

Wong berkata dengan membuat mesyuarat PSC secara tertutup adalah langkah ke belakang dalam usaha ke arah pembaharuan parlimen, termasuk memperkenalkan lebih ketelusan, kecuali untuk prosiding tentang isu yang membabitkan keselamatan negara.

“Pembaharuan parlimen tidak akan dapat disempurnakan jika kita masih membuat prosiding tertutup,” katanya dengan menggariskan bahawa Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat Parlimen telah memutuskan agar semua prosiding jawatankuasa parlimen didedahkan sejak 2019, melalui Saluran TV Parlimen Malaysia.

Memandangkan perhatian awam terhadap kes Azam, Wong mempersoalkan sikap keberatan yang dipamerkan Azhar untuk membenarkan prosiding terbuka bagi mesyuarat PSC berhubung pegangan saham Azam.

“Ia merupakan hak orang awam untuk tahu mengenai perkara tersebut. Ia satu isu penting yang melibatkan pegawai berjawatan tinggi yang mempertaruhkan integriti SPRM.

“Sudah sampai masanya untuk speaker Parlimen memastikan semua jawatankuasa parlimen dapat berfungsi dengan cekap dan berkesan bagi menyemak imbang Eksekutif,” tegasnya.

Pada 12 Jan, setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha menghantar notis kepada ahli PSC berhubung agensi antirasuah yang berada di bawah Jabatan Perdana Menteri itu.

Ia bagi memanggil satu mesyuarat bagi membincangkan soal pegangan Azam terhadap lebih dua juta saham di dua syarikat senaraian awam.

Ahli-ahli parlimen pembangkang mendesak agar isu yang menyelubungi pegangan saham Azam itu dirujuk kepada jawatankuasa parlimen memandangkan badan pemantau SPRM didakwa gagal untuk mengendalikan perkara itu dengan sewajarnya.

Ini lebih-lebih lagi selepas pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM Abu Zahar Ujang membersihkan nama Azam daripada sebarang salah laku pada 5 Jan.

No comments:

Post a Comment