Monday, August 7, 2023

Nazri: DAP menang banyak pun, PM tetap Melayu

 

Meskipun DAP menang besar dan bersama dalam kerajaan perpaduan, namun jawatan perdana menteri dan menteri besar tetap diterajui oleh orang Melayu, kata bekas ahli majlis kerja tertinggi (MKT) Umno, Nazri Aziz.

Jelasnya, dakwaan orang Melayu terhimpit dan tertekan di bawah kerajaan hari ini yang turut ditunjangi DAP adalah satu penipuan.

Sebaliknya, bekas menteri itu berkata, Perikatan Nasional (PN) sengaja memainkan isu perkauman kerana sedar pendekatan tersebut akan menguntungkan mereka.

"Duduk main isu perkauman susahlah, ia memberi gambaran seolah-olah Islam tertekan sentimen ini mestilah memihak kepada PN, sekarang ini 2023 sudah.

ADS

Nazri juga mencabar pemimpin pembangkang supaya menamakan menteri besar bukan Melayu di negeri-negeri majoriti Melayu yang kerusinya banyak dimenangi oleh DAP.

Sebaliknya, menurut pemimpin Umno yang lantang itu, Perikatan Nasional (PN) sengaja menjadikan DAP sebagai senjata untuk menyerang kerajaan.

DAP cuba dilabelkan sebagai parti rasis yang memperjuangakan hak sama rata serta anti Raja-raja Melayu dan menentang Islam sebagai agama persekutuan.

Pada 2 Ogos lalu, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang mendakwa punca parti itu memutuskan kerjasama dengan DAP adalah akibat sikap campur tangan ke atas dasar membabitkan Islam.

Selain itu, kata Hadi, keputusan PAS memutuskan kerjasama dengan DAP dimuktamadkan susulan pergeseran mengenai beberapa isu yang gagal dipersetujui kedua-dua parti, antaranya hasrat untuk mengembalikan pilihan raya perbandaran.

Katanya, PAS menentang cadangan kembali mengadakan pilihan raya perbandaran yang dihapuskan selepas 13 Mei 1969 atas alasan pelaksanaannya boleh mencetuskan ketegangan antara kaum.

"Tiba-tiba ikut DAP (mahu kembali mengadakan pilihan raya perbandaran). PAS tidak bersetuju (cadangan berkenaan) dimasukkan dalam manifesto.

"Saya bertemu dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menyatakan pendirian PAS tidak bersetuju kerana ia adalah agenda politik. 

“Kalau buat pilihan raya perbandaran, habis balak ini DAP perintah. Dia perintah bandar, ikut kuasa dia apa dia hendak buat di dalam bandar," kata Abdul Hadi seperti dilaporkan media.

Sementara itu, Nazri mempersoalkan di mana ancaman yang diterima orang Melayu dalam situasi politik yang hari ini yang dikuasai Bumiputera.

"Macam di Perak, kalau ikut kerajaan perpaduan DAP punya calon MB, ada seorang Melayu (dalam DAP) tu. Tapi yang dapatnya orang Melayu BN.

"Jadi di mana orang Melayu terancam? Melainkan menggunakan perkauman untuk menipu (meraih sokongan).

"Saya harap pengundi faham, politik perkauman ini zaman 60-an, 70-an sekarang tak boleh dah. Kita kena sedarkan orang Melayu kita bahawa orang Melayu tak pernah terancam pun," katanya lagi.