Friday, May 27, 2011

Bookie Liga Super: negeri kini diawasi rapi PBNS

"SIASAT segera sebelum ia merebak." Itulah kata-kata pertama terbit daripada mulut Mohd Azrai Khor Abdullah selepas mende¬ngar perkhabaran terbaru betapa mungkin ada unsur rasuah dalam skuad Liga Super Negeri Sembilan.

“Saya setuju jika siasatan dibuat ke atas skuad negeri dan memang wajar ia disiasat segera,’ kata ketua jurulatih skuad Hoben Jang Hoben itu, semalam.

Dia menambah: “Ada lebih baik PBNS (Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan) bertindak awal sebelum gejala ini - jika benar wujud - merebak ke dalam pasukan.

“Walaupun belum ada sebarang bukti berkaitan isu ini tindakan diambil ketika ini betul dan positif.”

Semalam, Presiden PBNS, Datuk Seri Mohamad Hasan turut menyuarakan pandangan betapa ada kemungkinan unsur negatif itu wujud dalam skuad Liga Super negeri yang disifatkan olehnya “sekejab menang, sekejab kalah” dan dia sendiri amat mengharapkan tiada rasuah terbabit.

Isu panas ini timbul selepas pengurus skuad Piala Presiden, Bahari Abd Rahman dan Setiausaha Kehormat PBNS, Datuk Abd Halim Abd Latif membuat laporan polis di Balai Polis Seremban 2, semalam selepas mendapat bukti kemungkinan gejala rasuah melanda skuad remaja negeri berkenaan. 

Tampaknya, ‘gelora ganas’ yang pernah mencipta aib besar pada 1995, gara-gara rasuah se¬perti mahu kembali menghantui semula Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Anehnya, hanya seminggu lalu, FAM memberi amaran keras kepada pemain dan pegawai betapa hukuman berat bakal menunggu mereka andai terbabit dalam rasuah mengatur keputusan perlawanan di Liga Malaysia.

Ia berlaku sejurus selepas lawatan Ketua pegawai Keselamatan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Chris Eaton ke Kuala Lumpur pada 19 Mei lalu apabila Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata pemain dan pegawai yang terbabit dalam rasuah akan dikenakan hukuman berat.

Sementara itu, ketika diajukan persoalan mengenai status pemain serta pengurusan pasukan Piala Presiden, Mohamad berkata sebarang hukuman atau tindakan akan dilakukan sebaik pihak polis selesai menjalankan siasatan.

Selepas mengharungi 18 perlawanan, skuad negeri sudah mengumpul 20 mata untuk berada di tangga ketujuh Kumpulan B.

Dalam saingan yang hanya berbaki dua perlawanan itu Negeri Sembilan hanya mencatatkan lima kemenangan, lima seri dan lapan kekalahan.
BH 27 Mei

No comments:

Post a Comment