SHAH ALAM – Seseorang yang menuduh individu lain melakukan perbuatan zina layak mendapatkan empat saksi adil, tidak fasiq dan tidak pernah melakukan perbuatan terkutuk, tetapi tidak layak melakukan sumpah laknat.
Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd Tamyes Abdul Wahib berkata, hukum fekah menjelaskan sekiranya ingin menuduh seseorang melakukan perbuatan terkutuk, individu itu perlu membawa empat saksi tidak termasuk dirinya.
Menurutnya, sekiranya gagal membawa bukti dan saksi, individu terbabit tidak layak membuat tuduhan.
Beliau berkata, sekiranya tidak layak, individu itu wajib dikenakan hukum qazaf, hukuman kepada orang yang menuduh orang berzina tanpa empat saksi di mana dalam Islam dikenakan 80 kali sebatan.
“Laknat Allah ini tidak boleh dipermainkan, kalau tidak berlaku (perbuatan) jangan menuduh, nanti sumpah memakan diri. Apa disiarkan di televisyen semalam (merujuk kes Datuk Shazryl Eskay bersumpah laknat), langsung tidak kena kerana itu bukan disyariatkan Islam.
“Segala apa dilakukan (sumpah laknat), bukan selesai begitu sahaja dan bukan bermakna kita sudah cuci tangan, tetapi kita dipertanggungjawabkan mulai saat kita melakukan perbuatan itu sehingga kita bertemu Allah,” katanya.
Abdul Wahid berkata, sumpah laknat atau sumpah mubahalah ini berat malah ianya perlu dihadiri kedua-dua pihak (yang menuduh dan dituduh).
No comments:
Post a Comment