BUTTERWORTH: Jeritan dan tangisan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun sejak beberapa bulan lalu membongkar rahsia dia dipercayai mangsa dera teman lelaki ibunya.
Kanak-kanak berkenaan dipercayai menjadi mangsa dera teman lelaki ibunya berusia 40-an, selepas ibu tunggal berusia 22 tahun itu bercerai dengan pasangannya berusia 25 tahun, beberapa tahun lalu.
Kejadian dera itu berlaku di rumah sewa wanita terbabit di Taman Mesra, Bagan Lallang, dekat sini, yang dipercayai kerap dikunjungi teman lelakinya, sejak beberapa bulan lalu. Difahamkan, kejadian itu mula terbongkar apabila seorang jiran wanita terbabit ternampak teman lelaki ibu tunggal terbabit menarik telinga mangsa masuk ke dalam sebuah kereta, kira-kira jam 2.30 petang kelmarin.
Menurut sumber, jiran wanita itu yang mengesyaki sesuatu perkara buruk berlaku bertindak menghubungi peronda sukarela sebelum menghubungi polis.
Berikutan itu, sepasukan polis bergegas ke kawasan perumahan berkenaan dan menyoal siasat wanita terbabit dan teman lelakinya.
“Wanita terbabit mendakwa kanak-kanak lelaki berusia empat tahun itu anaknya dengan bekas suami yang bekerja di pasar raya.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati ada kecederaan termasuk kesan rotan dipercayai didera pada telinga, mata, badan, tangan serta kaki mangsa,” katanya.
Susulan itu, wanita terbabit dan teman lelakinya ditahan, manakala mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk pemeriksaan lanjut. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Prai Utara, Asisten Komisioner Zulkifli Alias mengesahkan penahanan pasangan terbabit bagi membantu siasatan.HM
No comments:
Post a Comment