Wednesday, June 29, 2011

Paksi kesal puisi Pak Samad dicurigai


KUALA LUMPUR, 29 Jun: Seniman Paksi Rakyat (Paksi) kesal dan sedih dengan tindakan pihak polis memanggil Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said untuk disoal siasat hanya kerana sebuah puisi yang dibacakan di majlis pelancaran Bersih 2.0 pada 19 Jun lalu.

Pengerusinya, Dinsman berkata, tidak wajar A. Samad disoal siasat kerana beliau hanya menyuarakan pandangannya mengenai situasi yang berlaku di negara ini melalu karyanya.

Namun Paksi katanya tetap berbangga kerana puisi A. Samad, "Unggun Bersih" yang merupakan suatu karya seni yang indah tiba-tiba mendapat perhatian umum.

Sambil mengajak rakyat menghayati "Unggun Bersih", Dinsman berkata, amat pelik apabila pihak berkuasa mencurigai karya yang diiktiraf di peringkat antarabangsa itu.

"Betapa murninya niat dan geraktindak seorang seniman yang luas pengalaman ini, untuk berbakti kepada negara, bangsa dan agamanya.

"Kita tidak faham mengapa pihak polis perlu menimbulkan rasa curiga terhadap manusia baik yang sebaik A Samad Said ini, penyair yang menekuni kehidupan mulia Rasulullah (s.a.w.) dan menghasilkan sebuah puisi panjang-tebal mengenai insan agung itu – Al-Amin.

"Sebagai sasterawan, seniman, budayawan dan intelektual yang bertanggungjawab, dia sentiasa bersama rakyat bagi merakamkan gerak nadi dan jerit batin rakyat dan menyatakan sikap dan pandangan warasnya apabila difikirkannya perlu, dengan niat untuk menyumbang ke arah kesejahteraan, di samping untuk sama-sama menegakkan yang hak dan adil dalam masyarakat," kata beliau dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, Paksi mengingatkan pihak berkuasa agar tidak menggunakan kuasa secara sewenang-wenangnya dalam apa jua keadaan bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan rakyat.
Sasterawan negara juga tegasnya wajar diberikan hak dan kebebasan untuk terus menyumbangkan karya kepada masyarakat.

"Apabila insan luhur seperti A Samad Said bersuara dan memberi teguran ikhlasnya, marilah sama-sama kita mendengarnya. Usahlah kita menjadi takut kepada bayang-bayang sendiri," katanya.

Puisi Ini menyebabkan Sasterawan Negara Disiasat Dibawah Akta Hasutan?

Unggun Bersih
Semakin lara kita didera bara—
kita laungkan juga pesan merdeka:
Demokrasi sebenderang mentari
sehasrat hajat semurni harga diri.
Lama resah kita—demokrasi luka;
lama duka kita—demokrasi lara.
Demokrasi yang angkuh, kita cemuhi;
suara bebas yang utuh, kita idami!
Dua abad lalu Sam Adams berseru:
(di Boston dijirus teh ke laut biru):
Tak diperlu gempita sorak yang gebu,
diperlu hanya unggun api yang syahdu.
Kini menyalalah unggun sakti itu;
kini merebaklah nyala unggun itu.

Puisi ini telah dibacakan oleh Pak Samad ketika majlis pelancaran BERSIH 2.0

No comments:

Post a Comment