Tuesday, June 14, 2011

Wanita S'pura diarah berbogel, ketuk ketampi

Imigresen Johor: Ketuk ketampi berbogel bukan prosedur ‘hukum’ warga asing

KUALA LUMPUR, 14 Jun — Ketuk ketampi dalam keadaan berbogel bukan satu prosedur hukuman jika rakyat bukan warganegara ditahan memasuki Malaysia secara tidak sah, kata Pengarah Imigresen Johor Mohd Nasri Ishak.

Dalam laporan akhbar Straits Times Singapura hari ini, dua wanita warga Singapura yang memandu ke Johor Baru untuk makan malam telah disoal oleh pegawai-pegawai Jabatan Imigresen Malaysia dengan digari, dihumban ke dalam pusat tahanan dan yang paling teruk diarah ketuk ketampi dan bercangkung dalam keadaan berbogel selepas ditangkap atas dakwaan cuba masuk ke Malaysia secara tidak sah.

Nasri berkata, terdapat hukuman lain jika mereka didapati bersalah memasuki Malaysia tanpa membawa pas dan dokumen perjalanan yang tidak sah.

“Mereka akan dikenakan denda sebanyak RM10,000 atau lima tahun penjara,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Nasri menambah, beliau tidak mahu media hanya mendengar kenyataan daripada sebelah pihak sahaja.

“Kami akan buat siasatan dan mendengar pula kenyataan dari pihak yang satu lagi,” ujarnya lagi.

Mangsa ditahan, Chang, lewat 30-an, telah memandu ke Johor Baru bersama rakannya seorang ejen hartanah yang berumur lewat 20-an, hanya mahu dikenali sebagai Lim kira-kira pukul 1.30 pagi Khamis lalu.

Lim memandu kereta model Nissan Latio, ini merupakan kali pertama dia memandu ke Malaysia, walaupun telah ke sana bersama rakan-rakan sebelum ini.

Di pihak Jabatan Imigresen Malaysia, mereka memandu di lorong yang tidak dikawal.

“Tiada sesiapa pun di sana dan lampu hijau menyala,” kata Lim.

“Saya menekan interkom dan tidak mendengar apa-apa, jadi saya terus memandu ketika penghadang dibuka,” katanya.

Chang memberitahu akhbar harian itu mereka terus memandu kerana menyangkakan Malaysia menggunakan sistem biometrik — yang baru diperkenalkan.

Menurut laporan media, dua wanita itu dikurung dalam sebuah bilik selama dua jam sebelum dibawa ke bilik mesyuarat kira-kira pukul 4 pagi.

Pada pukul 5 petang, mereka diberitahu akan dihantar ke Pusat Tahanan Pontian untuk ditahan selama 14 hari.

Di pusat tahanan itu, wanita itu digari. Mereka juga dikehendaki menanggalkan barang kepunyaan masing-masing.

“Mereka minta kami agar tanggalkan pakaian, tanggalkan semua pakaian termasuk pakaian dalam dan kemudian minta kami melakukan ketuk ketampi,” kata Lim.

Selepas melakukan 10 kali ketuk ketampi, wanita itu diarahkan memakai semula seluar dan diberikan sehelai kemeja-T.

Mereka kemudian diletakkan dalam sebuah bilik sebesar gelanggang bola keranjang bersama 50 wanita lain, kebanyakannya daripada Indonesia, China dan Filipina.

Kedua-dua wanita itu ditahan selama satu malam dan pada pukul 5 petang keesokan hari, mereka diberitahu akan dibebaskan dan dihantar menaikan sebuah van dengan enam tempat duduk ke Jabatan Imigresen di Causeway di mana mereka turut menerima surat amaran.

Bagaimanapun, Nasri enggan mengulas lebih lanjut mengenai perkara tersebut.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Ipoh Barat M. Kulasegaran berkata tindakan itu mengaibkan maruah dan sesuatu tidak masuk akal manakala wakil rakyat Bakri Er Teck Hwa pula berkata perkembangan itu memberi persepsi bahawa Malaysia sebuah negara tiada undang-undang.

“Anda tidak boleh lakukan ini. Mengapa mereka menyoal siasat wanita-wanita ini sebegini? Ia tindakan mengaibkan,” katanya. -TMI

No comments:

Post a Comment