MARANG: Berbekalkan sepotong kain batik yang dipuja dikenali sebagai kain ular berlaki atau mengawan, seorang wanita mendakwa pernah memiliki lebih 200 teman lelaki sepanjang lima tahun dia menjanda, sejak 2003 sebelum berkahwin semula pada 2008.
Akibat terlalu mengikut nafsu dan ghairah mendapat kasih sayang lelaki, wanita yang mahu dikenali sebagai Nora, 50, dari bandar ini berkata, ketika zaman ‘gemilang’nya itu dia bukan saja berjaya memancing lelaki bujang berusia 30 hingga 60 tahun, malah menjalin hubungan dengan suami orang.
Nora yang kini bergelar nenek mendakwa dia memiliki sepotong kain dinamakan kain ular berlaki yang mampu menarik minat lelaki kepadanya selain minat mendalamnya mempelajari ilmu kebatinan sejak remaja bagi menambahkan seri wajahnya.
“Kain yang tersimpan sejak 34 tahun lalu itu saya dapat daripada seorang wanita di bandar ini dan bermula daripada situ hidup saya berubah apabila sering menjadi tarikan lelaki.
“Kain batik itu istimewa kerana ada sepasang ular mengawan di bawahnya. Ia kemudian dipuja dengan ayat tertentu yang saya tidak tahu sebelum boleh digunakan sebagai penyeri, pelaris dan pengasih,” katanya.
Nora berkata, cara penggunaan kain itu mudah iaitu hanya disimpan di dalam beg atau dompet, namun perlu berhati-hati kerana ia tidak akan mujarab jika suami atau lelaki tahu mengenai kewujudan kain itu dalam simpanannya.
Nora berkata, melihat dirinya menjadi tarikan lelaki, ibu bapanya menyuruhnya berkahwin pada 1981 dan mendapat sembilan anak.
“Walaupun sudah berkahwin, masih ada lelaki yang mahu mendekati, tetapi saya pandai menyembunyikan rahsia itu daripada pengetahuan suami,” katanya yang kini mempunyai 10 cucu.
Menurutnya, akibat pergolakan rumah tangga berikutan diburu lelaki yang terpaut dengannya, dia bercerai pada 2003 dan dalam menjanda selama lima tahun.
Berbekalkan kain ular berlaki itu, dia memikat ramai lelaki untuk menjadi kekasihnya dan sepanjang lima tahun menjanda dia mendakwa mempunyai lebih 200 teman lelaki.
Bagaimanapun, Nora berkata dia tidak pernah melakukan hubungan seks dengan mereka, sebaliknya sekadar berseronok seperti berbual dan keluar minum bagi menghilangkan kebosanan.
“Bagi mendapatkan lelaki bagaikan memetik jari dan mereka akan mendekati sama ada meninggalkan nombor telefon atau mempelawa saya keluar bersiar-siar,” katanya.
Nora yang bekerja sebagai peniaga sambilan produk kecantikan berkata, dia mempercayai kain yang dipuja itu memberi kuasa dalam hidupnya hingga mudah mendapatkan lelaki tanpa perlu berkata-kata.
Menurutnya, selepas lima tahun menjanda, dia berkahwin kali kedua dengan seorang lelaki berusia 10 tahun lebih muda daripadanya pada 2008.
“Bagi menguji keberkesanan kain itu, saya pernah meletakkannya di dalam dompet suami tanpa pengetahuannya dan tidak lama selepas itu, suami hilang nafsu seks kepada saya,” katanya.
Namun katanya, lama-kelamaan kain itu menimbulkan banyak masalah kerana dia masih menjadi tumpuan lelaki sehinggakan untuk sukar menjalankan urusan harian selain bimbang tembelangnya mempunyai ramai kekasih diketahui keluarga dan rakan.
“Saya sudah tua dan hidup pada usia ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk mencari keredaan Ilahi atas kesilapan lampau,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Muhammad Ramli Nuh, berkata umat Islam haram mempercayai perkara tahyul dan khurafat.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh berkata, mempercayai unsur yang tidak diajar agama boleh menjejaskan akidah seseorang kerana setiap yang dijadikan Allah adalah sempurna.
“Orang Islam sepatutnya tidak menjadikan makhluk lain seperti jin dan syaitan sebagai tempat untuk mereka meminta pertolongan bagi tujuan tidak baik.
“Justeru itu, mereka yang sudah terlanjur mengamal ilmu tidak menepati syariat Islam wajib meninggalkan perbuatan itu dan pulang ke pangkal jalan selain mendalami ilmu agama dengan lebih sempurna,” katanya.
sumber : myMetro
No comments:
Post a Comment