Monday, October 17, 2011

Beri IC kepada tak layak perbuatan jijik


Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 17 Okt: Pendedahan mengenai sindiket kad pengenalan (IC) cukup serius kerana jika benar laporan berkenaan membuktikan bahawa usaha untuk menjual negara kepada orang yang tidak bertanggungjawab semakin berani dibuat secara terbuka.

Pengerusi Majlis Politik Nasional Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Mohd Nazri bin Mohd Tahir menyatakan demikian sebagai respons kepada pendedahan yang telah dilaporkan oleh media alternatif berkaitan ‘sindiket IC’ yang melibatkan warga asing yang diselindungi dengan nama kursus keusahawanan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab baru-baru ini.

Pendedahan tersebut dibuat oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia pada Khamis lalu.
“Dalam hal ini pihak Gamis merasakan suatu sindeket yang tersembunyi yang didalangi oleh pihak yang berkepentingan telah melalukakan tindakan tidak bertamadun tersebut.

“Memberikan kad pengenalan negara kepada mereka yang tidak layak adalah usaha yang cukup jijik kerana harga kewarganegaraan bukan boleh dijual untuk kepentingan sesuatu pihak,” ujarnya yang juga Naib Presiden Gamis.

Justeru, ujarnya pihak Gamis mendesak agak Kementerian Dalam Negeri khususnya pihak PDRM dan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara mengambil isu ini secara serius supaya nilai negara kita tidak mudah tergadai sebegitu rupa.

Gesanya lagi, jalankan siasatan secara adil dan telus demi kebaikan negara dan rakyat.
Katanya, pendedahan oleh pengerusi SPR bahawa lebih 40,000 nama yang diragui sebagai pemilih dalam senarai daftar pemilih juga mungkin boleh disebabkan oleh ‘projek IC’ yang didedahkan itu.

“Kami cukup kecewa dengan program transformasi dan kemajuan teknologi pada hari ini tidak mampu untuk mengesan taktik kotor untuk menggadai maruah negara kepada warga asing ini.
“Sebagai mahasiswa, kami tidak rela maruah negara dicemari oleh usaha jahat dan kotor dengan menjual status warganegara kepada pendatang yang tidak punyai lansung nilai patriotik kepada negara.
“Lebih malang lagi jika hal ini benar terjadi, maka masa depan negara akan ditentukan oleh warga asing kerana mereka boleh mengundi setelah nama mereka tersenarai sebagai pemilih,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment