Tuesday, October 11, 2011

Pakatan mahu bawa isu Kg Baru kepada Agong


Walaupun Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru 2011 telah diluluskan oleh Dewan Rakyat, ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan agar isu berkaitan akta berkenaan diketengahkan untuk perhatian Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Selangor.

Katanya, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa melengahkan perkenan baginda kerana perkara itu "menyentuh isu kepentingan penduduk Melayu".

"Dia (kerajaan) lulus, dia boleh lulus. Sekarang ia masih di peringkat Dewan Negara (sebelum digazetkan). Kemudian (perlu) perkenan Yang di-Pertuan Agong.

"Saya berbincang dengan Salahudin Ayub, boleh jadi perkara ini akan diketengahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Selangor untuk melengahkan (supaya) tidak mengeluarkan kelulusan.

"Ini kerana (ia) menyentuh isu (kepentingan dan masa depan orang) Melayu dan penduduk Melayu (di situ)," katanya dalam majlis penerangan "Selamatkan Kampung Baru" malam tadi.

Bagaimanapun Anwar dalam ucapan di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru itu, tidak menyatakan bila Pakatan Rakyat yang diterajuinya akan berbuat demikian.

Menyifatkan cadangan itu sebagai "saluran sementara", Anwar berkata apa yang lebih penting tindakan itu dibuat bagi memastikan akta tersebut "tidak sempat dilaksanakan dengan sepenuhnya".

"Kita nak beritahu bahawa rakyat ada pilihan," tegasnya sambil menerima tepukan gemuruh kira-kira 500 penduduk Kampung Baru yang hadir pada majlis tersebut.

Turut bersama adalah tiga ahli parlimen Pakatan iaitu Salahudin Ayub (Kubang Kerian), Tian Chua (Batu) dan Tan Sri Khalid Ibrahim (Bandar Tun Razak).
Gagal sekat

Rabu lalu, ahli Parlimen Pakatan Rakyat gagal menyekat Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu 2011 apabila ia diluluskan menerusi undi belah bahagian.

Undian itu yang diminta sendiri oleh pihak pembangkang menyaksikan 72 ahli parlimen menyokong manakala hanya 28 yang tidak bersetuju rang undang-undang itu dibacakan untuk kali kedua.

Dalam ucapannya lagi, Anwar yang juga ahli parlimen Permatang Pauh mempersoalkan tindakan kerajaan menarik balik draf undang-undang tersebut yang dibentangkan sebelum ini.

"(Kerajaan) kena dengar pendapat rakyat (terlebih dahulu).  Kena tengok dari segi undang-undang dan apa implikasinya (kepada rakyat)

"(Kehendak rakyat) mesti difahami, sebelum buat sesuatu," katanya sambil menambah tidak perlu  "kuasa mutlak" diberikan menteri untuk membangunkan  di kawasan itu

Sehubungan itu, Anwar yang juga ketua pembangkang berjanji sekiranya Pakatan Rakyat memenangi pilihan raya akan datang, pihaknya akan "membatalkan" undang-undang baru tersebut.

Mengimbau sejarah pembangunan di Kampung Baru, bekas timbalan perdana menteri itu menceritakan  jasa  bekas menteri besar Selangor Allahyarham Datuk Harun Idris membantu membangunkan ekonomi orang Melayu.

Anwar menegaskan sepatutnya pemimpin Umno mencontohi Harun yang berusaha menolong orang Melayu, seperti memberi bantuan dalam bentuk pinjaman kewangan kepada penduduk di situ, yang mana ketika itu Kuala Lumpur berada di bawah Selangor.
MB diminta bantu
Beliau yang juga penasihat ekonomi negeri itu  turut mencadangkan kepada Khalid supaya segera membantu penduduk Kampung Baru melalui anak-anak syarikat, berdasarkan bidang kuasanya sebagai menteri besar.

Anwar berharap perbincangan antara anak-anak syarikat kerajaan negeri Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Yayasan Selangor dapat diadakan demi kepentingan penduduk selewat-lewatnya sebelum solat Jumaat.

Beliau mengulas syor Khalid yang berucap sebelum itu, berhubung komitmen kerajaan Selangor untuk memberi "sokongan profesional" kepada penduduk Kampung Baru.

Sementara itu, Salahudin pula menempelak Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahtaraan Bandar Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yang disifatkan sebagai 'sombong'.

Ini kerana dakwanya, menteri itu tidak memberi peluang kepada pemimpin pembangkang untuk mencelah membahaskan rang undang-undang itu di Dewan Rakyat baru-baru ini.

"Memanglah mengikut peraturan mesyuarat, nak bagi jalan atau tidak itu hak menteri kepada kita (untuk) membahaskan rang undang-undang itu.

"Memang hak dia, kita tidak menafikan hak dia. Tetapi rang undang-undang yang menentukan masa depan orang Kampung Baru, yang dia adalah menteri wilayah persekutuan," katanya.

Pada sidang media selepas majlis tersebut, Khalid berkata beliau bersetuju menubuhkan satu jawatankuasa bertindak di bawah pejabat menteri besar dengan kerjasama antaranya PKNS dan Perbadanan Negeri Selangor Berhad untuk membantu membangunkan Kampung Baru.

Beliau turut mengumumkan seorang wakil kerajaan negeri yang kini sebagai adalah lembaga penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan diarahkan memantau sebarang keputusan dewan tersebut berhubung pembangunan di situ.

"Beberapa rakan profesional dari kumpulan peguam menolong jawatankuasa ini untuk memahami dan merancang. Kumpulan perancang yang akan memberi idea perancangan (pembangunan) dan projek analisis," katanya.

Khalid berkata jawatankuasa itu akan bertindang bermula  hari ini (Selasa) atau lusa.

Mengulas lanjut, beliau berkata Kampung Baru mempunyai hubungan sejarah dengan negeri itu melalui Malay Agriculture Settlement Act yang dibuat semasa kampung itu berada dalam Selangor.

"(Oleh itu) akta tersebut sebagai asas untuk menggembleng pemilik tanah (mengenai) apa yang mereka perlu lakukan dalam usaha pembangunan di Kampung Baru dan masyarakat di situ.

"Daripada pemahaman saya, undang-undang yang dikemukakan sekarang mesti dibaca dengan undang-undang yang sudah ada. Antara undang-undang itu adalah Malay Agriculture Settlement (MAS) Act... Itu asasnya.

"Sebab itu saya rasa ada peluang untuk kita menggunakan akta MAS sebagai asas untuk kita mencari jalan pembangunan yang boleh diterima oleh masyarakat di Kampung Baru," katanya.MK

No comments:

Post a Comment