Thursday, November 24, 2011

AUKU: Badan pelajar sambut baik pindaan, tapi khuatir ‘nasib ISA’ berulang

November 24, 2011
 
KUALA LUMPUR, 24 Nov — Pertubuhan pelajar menyambut baik pengumuman pentadbiran Najib berkenaan pindaan ke atas Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) tetapi tidak mahu “nasib” Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) menjangkiti undang-undang menyentuh institusi pengajian tinggi itu.

ISA akan dimansuhkan tahun depan tetapi akan digantikan dalam bentuk dua akta yang baru dengan semangatnya dipercayai akan dikekalkan.
“Kami (Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa) MPP UIA menyambut baik keputusan Perdana Menteri agar mahasiswa dibenar berpolitk dan memohon agar pindaan ini dijalankan dengan segera dan serius. Kita tidak mahu peristiwa seperti ISA berulang sekali lagi,” kata Presiden MPP UIA Mohamad Iqbal Ab Wahab dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu di Parlimen Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan akan meminda Seksyen 15 AUKU bagi membolehkan pelajar yang mencapai umur 21 tahun menyertai parti politik.

Perdana Menteri mengumumkan perkara itu semasa membentangkan usul memansuhkan Proklamasi Darurat di Dewan Rakyat.
Beliau bagaimanapun menegaskan pelajar universiti ditegah sama sekali membawa politik kepartian ke dalam kampus.

Najib berkata kerajaan juga akan memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes empat pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang didakwa terbabit dalam kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor tahun lepas.

Sehubungan itu Iqbal mempersoalkan alasan kerajaan ingin merayu keputusan Mahkamah Rayuan akhir bulan lalu berkenaan kes membabitkan empat penuntut UKM.
“Adakah parti politik bersedia menerima kehadiran mahasiswa dan memberikan tempat yang sewajarnya atau mahasiswa hanya diberikan tugas sebagai tukang tampal poster sahaja?” katanya lagi.

Selain itu kata beliau, isu AUKU bukan hanya menyentuh kebebasan untuk berpolitik bahkan menyentuh kebebasan bersuara seperti yang termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan, berkait dengan kematangan mahasiswa dalam meyuarakan pandangan dan pendapat dalam apa jua isu dan penglibatan mahasiwa dalam isu-isu negara memangkin kematangan berfikir dan membuat pilihan antara baik dan buruk.

Katanya, pihak kerajaan berhak untuk membawa kes itu ke Mahkamah Persekutuan tetapi kewajaran untuk mengekalkan Seksyen 15 AUKU harus dipertimbangkan.

Dalam pada itu, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) juga menyambut baik pengumuman Najib dengan Ketua Penerangannya Mohd Yusof Hadhari berkata kenyataan tersebut menunjukan bahawa kerajaan yang sedia ada sudah mula faham dan akur dengan desak pelbagai pihak yang saban tahun memperjuangkan permansuhan akta itu sejak era kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Setiap undang-undang yang digubal berdiri atas satu-satu niat penggubalan. Begitu juga dengan AUKU,” kata beliau sambil menambah, AUKU juga membunuh aktivisme mahasiswa.
“Mahasiswa tidak lagi bebas berfikir, berpersatuan, menyuarakan pandangan secara idealis dan akademik malah kehidupan mereka sentiasa diancam,” kata Yusof.

Natijahnya menurut beliau, mahasiswa Malaysia saban ini tidak lagi menjadi jurubicara ummah demi pembangunan negara sebagaimana mahasiswa Malaysia pada era 1960-an dan 1970-an.
“Malah ia turut terkesan kepada pensyarah-pensyarah universiti. Gamis harapkan pengumuman ini tidak berulang sepertimana pengumuman mansuhkan ISA yang lalu.
“Sehingga kini masih menjadi tanda tanya pada rakyat bila akan mansuh?” katanya lagi. TMI

No comments:

Post a Comment