KUALA LUMPUR, 14 Nov: Dewan Pemuda PAS
Malaysia (DPPM) membantah projek rintis bekerja
sembilan jam yang mahu dilaksanakan oleh Kementerian
Pelajaran kerana ia tidak wajar serta tidak
munasabah untuk dilaksanakan terhadap
para guru. “Dalam hal ini, DPPM bersetuju dengan gesaan
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan
(NUTP) agar kerajaan membatalkan projek perintis
guru kerana kajian itu adalah satu tindakan membazir,” kata ketua
penerangannya, Riduan Mohd Nor(gambar atas). Katanya, DPPM menegaskan, para guru bukanlah tikus
makmal yang boleh dijadikan bahan uji kaji terhadap keberkesanan
sesuatu teori sebaliknya melihat para guru adalah mereka yang sentiasa
bereksperimen dengan kehidupan realiti dan bergelumang
dengan dunia pendidikan. Bahkan, ujarnya banyak perkara berlaku dalam alam perguruan di luar daripada
silibus pembelajaran mereka, justeru mengapa mereka perlu dibebankan
dengan kajian perintis seperti itu. Sehubungan, tambah beliau DPPM mengajak kerajaan memerhati suasana
pengajaran dan pembelajaran para guru terutamanya di sekolah luar bandar. Beliau berkata, banyak perkara yang memerlukan inisiatif sendiri para guru,
termasuk mengeluarkan duit kocek mereka bagi memastikan sistem pengajaran
mereka di sekolah berkesan serta bagi memastikan para pelajar mendapat
pengajaran yang terbaik. Selain itu, ujarnya para guru juga terpaksa mengikut jadual waktu para murid
seperti hadir ke program kokurikulum, sukan tahunan, pelbagai aktiviti riadah
dan diluar darjah, lawatan sambil belajar disamping kursus-kursus wajib yang
mereka sendiri terpaksa hadiri. “Dalam keadaan para guru sudah sedia terbeban dengan pelbagai tugasan yang
diluar tanggungjawab utama mereka, apakah kerajaan mahu menambah lagi
beban untuk mereka pikul?” ujarnya kepada Harakahdaily. Soalnya lagi, bagaimana pula kerajaan boleh melahirkan murid yang cemerlang
jika guru yang mengajar pelajar sering letih, lesu dan hilang semangat kerana
perlu memenuhi masa bekerja seperti tenaga profesional yang lain. “Tindakan Kementerian Pelajaran ini menunjukkan kerajaan sememangnya
tidak peka terhadap permasalahan yang dihadapai oleh para pendidik,” ujarnya. Bagi DPPM, katanya guru adalah ibarat doktor yang merawat para pesakit. Katanya, kejahilan murid adalah penyakit yang perlu diubati, dan gurulah
penawarnya. Menurutnya, karier perguruan juga amat penting dan mulia kerana gurulah yang
mencorakkan muridnya dengan pelbagai kejayaan daripada tokoh korporat,
profesional, tokoh akademik sehinggalah pemimpin hebat negara. Justeru, ujarnya jasa dan pengorbanan mereka perlu dikenang dengan
memudahkan segala urusan mereka, bukan menambah bebanan mereka. DPPM, katanya mengesyorkan agar kerajaan menilai kembali keputusan kajian
itu dengan mengusahakan insentif kepada para guru sepertimana janji
Pakatan Rakyat untuk memberi elaun tambahan sebanyak RM500 sebulan. “Tindakan ini lebih realistik bagi memastikan guru mampu mengajar dengan
penuh cemerlang serta mampu melahirkan generasi pelajar yang terus cemerlang
dalam akademik,” katanya lagi. |
No comments:
Post a Comment