Saturday, November 5, 2011

Kewangan tiris kerana pemimpin tidak amanah


Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 5 Nov: Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram)
mengambil perhatian terhadap Laporan Ketua Audit Negara
yang dikeluarkan baru-baru ini terutamanya yang
menyentuh soal amanah.
Pengerusi Jawatankuasa Masyarakat Madani Ikram,
Syed Ibrahim Syed Noh (gambar)berkata, pemimpin
 seharusnya memelihara amanah atau kepercayaan
yang diberikan kepada mereka.
Katanya, Laporan Ketua Audit Negara merupakan
semakan kepada amanah yang diserahkan kepada
pemerintah, penjawat awam dan mereka yang berurusan
 dengan mereka.
Perkara 106 dan 107 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Audit 1957 menghendaki
 Ketua Audit Negara mengaudit penyata kewangan, pengurusan kewangan, aktiviti
Kementerian/Jabatan serta pengurusan syarikat Kerajaan Persekutuan dan
mengemukakan laporan mengenainya kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan
Agong untuk mendapat perkenan baginda supaya laporan tersebut dapat
dibentangkan di Parlimen.
Katanya, Ikram begitu prihatin terhadap dapatan-dapatan yang dilaporkan berhubung
kelemahan pengurusan kewangan kementerian/jabatan, agensi dan syarikat-syarikat
berkaitan kerajaan yang berkenaan seperti berlakunya pembaziran dalam perbelanjaan,
 pembelian harga barangan dan perkhidmatan yang berganda-ganda lebih tinggi
daripada harga pasaran dan lain-lain bentuk ketirisan kewangan yang saban
 tahun dilaporkan oleh Ketua Audit Negara.
“Ikram berpandangan punca utama ketirisan kewangan ialah kurangnya penghayatan
terhadap sifat amanah yang dituntut untuk dilaksanakan sepenuhnya,” ujarnya
 kepada Harkahdaily.
Begitu juga, katanya kelemahan-kelemahan yang sama dilaporkan masih berlaku
seolah-olah tiada kesedaran dan tindakan proaktif yang bersungguh-sungguh
 di pihak yang berkenaan bagi mempertingkatkan tahap pengurusan kewangan
agar lebih berakauntabiliti, efisien dan efektif.
Salah satu persoalan yang ditimbulkan, ujarnya ialah pembelian 257 buah kereta
perisai oleh Kementerian Pertahanan yang didakwa harganya 6 kali ganda lebih
mahal daripada harga pasaran di mana Kementerian Pertahanan membayar
sebanyak RM7.55 bilion atau RM29.4 juta sebuah sedangkan nilai pasaran yang
 sepatutnya hanyalah RM1.15 bilion atau RM4.5 juta sebuah sahaja.
Ini, ujarnya adalah sebagaimana soalan yang ditimbulkan oleh salah seorang
Ahli Parlimen kepada Menteri Pertahanan di sidang Parlimen baru-baru ini.
“Namun agak menghairankan apabila Datuk Seri Zahid Hamidi selaku Menteri
Pertahanan mendakwa beliau tidak tahu menahu tentang hal ini sedangkan beliau
sendiri hadir menyaksikan majlis menandatangani perjanjian urusniaga itu di Ankara,
Turki pada bulan Februari 2011 lalu,” katanya.
Sehubungan itu, katanya Ikram mencadangkan penambahbaikan dan peningkatan
 kawalan dalaman terhadap urustadbir dan pengurusan kewangan negara ke arah
yang lebih baik seperti berikut:
1. Menghayati dan mengamalkan sifat amanah dalam setiap urusan kewangan
negara dan kerajaan
2. Mengamalkan sikap telus dan bertanggungjawab dengan menghapuskan sistem
pembelian dan pemerolehan secara tertutup sebaliknya mengamalkan sistem pembelian
 dan pemerolehan secara terbuka
3. Menghapuskan sistem pembelian dan pemerolehan barangan dan perkhidmatan
melalui agen atau orang tengah sebaliknya membuat urusan secara terus dengan
pembekal atau pengilang
4. Mengambilkira pandangan pakar dalam proses pembelian dan pemerolehan
barangan dan perkhidmatan yang khusus seperti peralatan kejuruteraan tinggi
(high precision engineering), peralatan perubatan, robotik dan sebagainya bagi
mengelakkan pembaziran melalui pembelian yang tidak perlu
5. Mengambil tindakan untuk melaporkan atau merujuk kes-kes penyelewengan
kuasa dan kelemahan-kelemahan yang ketara dalam urustadbir dan pengurusan
 kewangan yang melibatkan kerugian kewangan seperti mana yang dilaporkan oleh
Ketua Audit Negara kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
atau pihak polis untuk membolehkan siasatan dijalankan
6. Memperkasakan SPRM sebagai satu badan yang bebas dengan memperuntukkan
kuasa pendakwaan turut diberikan kepada mereka dan bukan hanya kepada
Pejabat Peguam Negara
7. Mempertingkatkan kemampuan anggota penyiasatan yakni SPRM dan pihak polis
 di dalam menjalankan siasatan berhubung salah laku pengurusan kewangan dengan
menguasai teknik-teknik terbaru seperti forensic auditing atau forensic accounting.
8. Memperkenalkan polisi whistle-blowing dan menggalakkan samada anggota pekerja
sektor awam atau swasta maju ke hadapan melaporkan kepincangan dan penyelewengan
dalam urusan kewangan yang berlaku kepada pihak berkuasa di mana mereka ini
 dilindungi oleh satu undang-undang khas serta diberikan ganjaran yang setimpal
hasil daripada maklumat yang diberikan.
Beliau berkata, Ikram percaya dengan sifat amanah yang diterapkan dan
langkah-langkah penambahbaikan yang dicadangkan di atas diharapkan
kelemahan-kelemahan yang sama yang saban tahun dilaporkan oleh Ketua
Audit Negara di dalam laporan tahunannya akan dapat diminimumkan seterusnya
menyumbang ke arah urustadbir kewangan negara yang lebih berakauntabiliti,
efisien dan efektif.

No comments:

Post a Comment