Monday, November 21, 2011

Pilihan Orang Muda: Pemuda PAS, Umno lancar strategi


November 21, 2011

Ketua Dewan Pemuda PAS Nasruddin Hassan menyampaikan ucapan beliau ketika Muktamar parti 2 Jun 2011. — Foto fail
KUALA LUMPUR, 21 Nov — Jika sayap Pemuda dan Puteri Umno melancarkan kempen slogan baru “BN Pilihan Orang Muda” di ibu negara semalam, pesaing mereka — Dewan Pemuda PAS bertekad mahu meningkatkan fokus ke arah pengundi muda bagi menguasai pilihan raya umum ke-13. 
 Sayap muda PAS itu mengisytiharkan kempen ke arah memikat golongan muda menerusi konvensyen di Shah Alam kelmarin.
Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pemuda PAS Mohd Sany Hamzan dipetik berkata usaha tersebut merangkumi kemas kini daftar pemilih di kalangan pengundi muda, culaan dan menyusun program bersesuaian bagi mendekati golongan sasar.

Katanya, program penerangan bagi meningkatkan kesedaran mereka untuk mengundi akan diserapkan ke dalam program sosial yang akan dijalankan di peringkat akhir ini.

“Sebelum ini bukan Pemuda tak buat kerja, malah Pemuda di setiap negeri sudah merangka dan melaksanakan pelbagai program mendekati pengundi muda tapi kita ingin tingkatkan dan perkasakan program-program ini untuk mencapai matlamat kita ke Putrajaya,” kata beliau dipetik Harakahdaily.
Kelmarin, Dewan Pemuda PAS mengumpulkan hampir 500 petugas terdiri daripada ketua Pemuda Negeri, Pengarah dan Setiausaha Jabatan Pilihan Raya negeri-negeri dan kawasan pada Konvensyen Pilihan Raya Pemuda PAS Peringkat Kebangsaan di Shah Alam.TMI

Sany berkata, pada konvensyen itu juga, pemimpin Pemuda diberi amanat untuk membantu PAS ke Putrajaya dengan menyediakan tenaga petugas bagi setiap kerusi Parlimen yang bakal ditandingi.

“Walaupun PAS belum tahu berapa kerusi Parlimen yang akan ditandingi, namun Pemuda diberi tugas dalam “roadmap” ke Putrajaya yang dibentangkan oleh (Naib Presiden) Datuk Paduka Husam Musa,” katanya.
Tambah beliau, konvensyen tersebut dijangka program besar yang terakhir oleh Dewan Pemuda PAS sebelum pilihan raya umum-13 yang dijangka berlaku awal tahun hadapan.

Laporan Bernama Online semalam menyebut amanat khas Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak, yang julung kali diadakan khas bagi sayap Pemuda dan Puteri semalam, antara lain menekankan usaha transformasi politik dan persediaan parti menjelang pilihan raya umum ke-13.

Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata taklimat itu turut menyentuh mengenai strategi untuk menawan negeri-negeri yang BN serta usaha mengekalkan kemenangan di negeri-negeri yang dimenangi pada pilihan raya umum 2008.

Ahmad berkata selain itu pada pilihan raya umum akan datang, pengundi muda merangkumi 38.8 peratus daripada 12 juta pengundi, dan mereka berusia dalam lingkungan 21 hingga 40 tahun, dan memainkan peranan sebagai penentu kemenangan BN pada pilihan raya umum ke-13.

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata acara yang julung kali diadakan sebelum Perhimpunan Agung Umno itu merupakan permintaan khusus kedua-dua sayap parti untuk memberi suntikan motivasi memandangkan pengundi muda adalah faktor penentu dalam pilihan raya umum akan datang.

Pemuda dan Puteri melancarkan slogan baru “BN Pilihan Orang Muda” sebagai identiti baru pergerakan itu dalam usaha memberi lebih pilihan kepada pengundi sasar menjelang pilihan raya umum akan datang.
“Mulai hari ini semua gerak kerja tertumpu kepada slogan itu, di mana identiti baru itu akan menjadi teras kepada kita.

“Dari dulu kita ada Undilah Barisan Nasional sekarang kita segarkan semula bahawa generasi muda ada pilihan, kuasa ada di tangan mereka, pilihan setelah mereka lihat apa yang telah BN buat dan ditawarkan selama ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment