December 10, 2011
KUALA LUMPUR, 10 Dis — Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami) kecewa program debat berkenaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) di Fakuliti Undang-undang Universiti Malaya (UM) di sini malam tadi diganggu oleh pengurusan pusat pengajian tinggi itu dan terpaksa dibatalkan ketika sedang berlangsung.Setiausaha Agungnya Khairul Naim berkata, pihaknya begitu terkilan dan kecewa apabila program debat yang sebenarnya bersifat akademik dan mendidik ini diganggu oleh pengawal keselamatan dan “special branch” ketika debat antara Ahmad Shukri Che’ Ab. Razab yang merupakan bekas aktivis Pro-Mahasiswa dan Syamsul Salleh iaitu bekas Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Putra Malaysia sedang rancak berjalan pada pusingan kedua.
Debat itu berkisar tentang AUKU dan Autonomi Mahasiswa. Ia dianjurkan oleh Aksi Mahasiswa Peduli (Aksi) dan Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas).
Menurut Khairul, beberapa pengawal keselamatan dan “special branch” telah menjerit meminta penganjur program keluar dewan dan meminta supaya perdebatan dihentikan dengan segera.
“Ketika itu juga lampu telah ditutup beberapa kali, namun pengajur masih meneruskan debat sehingga memaksa Yang Dipertua Majlis Perwakilan Mahasiswa UM Mohd Syahid untuk keluar berunding.
“Setelah rundingan dilakukan beberapa minit, akhirnya pihak keselamatan memberitahu arahan tersebut datang daripada Timbalan Naib Canselor HEP UM, Datuk Rohana Yusof,” kata beliau lagi.
Sehubungan itu kata beliau, “Kami di pihak mahasiswa ingin mempersoalkan apakah rasionalisasi bagi gangguan tersebut?”
“Pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) UM bertindak seolah-olah mahasiswa sedang melakukan sesuatu yang mengacam keselamatan kampus sedangkan perdebatan sihat ini bersifat ilmiah.
“Tindakan ini kami kira sesuatu yang tidak relevan malah bakal melahirkan lebih ramai graduan yang lemah serta menyemarakkan api bebalisme dalam kalangan mahasiswa,” kata beliau.
Malah kata beliau, mahasiswa lihat bahawa kebebasan akademik dalam negara ini masih berada di tahap paling corot.
“Apa yang mereka takutkan sebenarnya?” katanya lagi.
Mahasiswa sudah mulai bosan dengan karenah birokrasi pihak HEP yang mengekang program ilmiah yang diadakan oleh mahasiswa, tambah beliau dan menegaskan, “mahasiswa bukan pelajar sekolah, lagi disekat lagi memberontak.”
Oleh itu katanya, Kami kira HEP sudah tidak relevan dan harus dimansuh.
“Apakah maknanya memegang gelaran mahasiswa tetapi masih perlu mengikut telunjuk dan menjadi ‘yes man’ sahaja?” katanya lagi. TMI
No comments:
Post a Comment