Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
mfirdaus@hmetro.com.my
mfirdaus@hmetro.com.my
Dalam kejadian jam 7 pagi di rumah wanita itu di Bukit Jalil, di sini semalam, mangsa yang sedang tidur dikejutkan teman lelakinya yang berusia 40-an sebelum dipaksa menerima puluhan jarum yang ditusuk di muka, tangan dan badan.
Lebih malang, teman lelaki mangsa turut mengacukan pisau sebelum memaksa wanita terbabit mencucuk jarum ke badannya.
Bimbang dicederakan, mangsa akur permintaan pelik teman lelakinya itu.
Mangsa yang bimbang dengan keselamatan diri membuat laporan di Balai Polis Sungai Besi, di sini, untuk tindakan lanjut.
Menceritakan semula kejadian itu, sumber berkata, mangsa yang sedang tidur di bilik di rumahnya itu dikejutkan teman lelakinya yang baru pulang dari kerja.
“Pada mulanya mangsa enggan bangun menyebabkan suspek memarahinya.
“Suspek mengambil jarum dan mencucuk benda tajam itu di badan mangsa. Tersentak dengan perbuatan itu, mangsa memarahi teman lelakinya, namun suspek mengacukan pisau ke arahnya,” katanya.
“Kesempatan itu diambil dengan mencucuk puluhan jarum di muka, tangan dan badan teman wanitanya.
“Suspek memaksa mangsa supaya mencucuk jarum berkenaan di badannya dan keengganan wanita terbabit berbuat demikian menyebabkan suspek mengugut mencederakannya dengan pisau,” katanya.
Sumber berkata, mangsa sekali lagi akur dengan permintaan pelik teman lelakinya itu.
“Selepas semua permintaan suspek dipenuhi, mangsa merayu kepada teman lelakinya mencabut semula jarum berkenaan kerana dia hendak mandi dan bersiap ke tempat kerja.
“Pada mulanya suspek enggan melepaskan mangsa, namun selepas dirayu, lelaki terbabit membenarkannya,” katanya.
Katanya, sebaik meninggalkan rumahnya, mangsa bergegas ke balai polis dan membuat laporan mengenai kejadian berkenaan.
Difahamkan, mangsa cedera di muka, tangan dan badan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK) dan difahamkan, usaha memburu suspek sedang giat dijalankan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.
No comments:
Post a Comment