Saturday, February 11, 2012

Adik sanggup gadai nyawa untuk abang


NORAIZURA AHMAD
11 Februari 2012
Adik sanggup gadai nyawa
SUBANG - Seorang adik sanggup menggadaikan nyawanya membantu mencuba memadamkan api untuk menyelamatkan kedai milik abangnya yang musnah dalam kebakaran di Kampung Melayu Subang, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.20 pagi itu, Nor Shabiha Mohd Hairi, 23, berada dalam rumah apabila terdengar jeritan orang ramai memberitahu stor milik abangnya yang berada berdekatan dengan rumahnya terbakar.

Menurutnya, tempat kejadian yang hanya lebih kurang 20 meter dari rumahnya itu melibatkan empat pintu rumah termasuk dua pintu rumah stor milik abangnya, Saiful Adli, 32.

“Saya melihat sendiri api sudah marak dan kami tidak dapat membantu menyelamatkan barangan yang berada dalam stor kerana bimbang akan berlaku kejadian yang tidak diingini.

“Kami cuba membantu mengawal kebakaran tetapi tidak mampu kerana tekanan air yang kecil,” katanya ketika di temui semalam.

Shabiha berkata, ketika kejadian, abangnya tidak berada di stor tersebut kerana berada di rumahnya di Seri Kembangan.

Menurutnya, kebakaran yang dipercayai bermula daripada stor abangnya merebak ke bahagian dua rumah berdekatan dengan stor tersebut.

“Ketika kejadian, kedua-dua rumah tersebut mempunyai penghuni dan mereka hanya sempat menyelamatkan diri masing-masing tanpa membawa sebarang dokumen ataupun barangan peribadi.

Mangsa, Azizan Adli, 32, berkata, ketika kejadian dia tidak berada di dalam stor kerana merancang untuk menghadiri jemputan perkahwinan rakannya di Johor.

Menurutnya, dia menerima panggilan kira-kira 7.30 daripada rakannya memberitahu mengenai kejadian tersebut dan reda dengan perkara tersebut.

“Saya bersama Saiful sudah empat tahun menjalankan perniagaan perancang perkahwinan dan sentiasa memastikan keadaan stor berada dalam keadaan selamat sebelum meninggalkan premis tersebut.

“Kita menganggarkan kerugian RM250,000 membabitkan peralatan pelamin dan pelbagai lagi barangan kami,” katanya yang sudah melaporkan kejadian tersebut di Balai Polis Kampung Subang.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Anggerik, Yusri Saharjo berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 7.44 pagi dan bergegas ke tempat kejadian dengan sebuah jentera.

Menurutnya, sejurus tiba di tempat kejadian, api semakin marak dan tiga daripada empat pintu rumah terbakar.

“Kita berjaya mengawal kebakaran kira-kira 15 minit.

“Dipercayai kebakaran bermula daripada rumah di bahagian hadapan berdekatan dengan jalan dan merebak ke tiga rumah berdekatan,” katanya.

Beliau berkata, punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Dua jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh dan Shah Alam turut membantu operasi tersebut.
www.sinarharian.com.my

No comments:

Post a Comment