Roketkini.com, | 17 Feb 2012 |
PUTRAJAYA, 17 Feb: Semua graduan kelas pertama patut diberi pengecualian dari membayar balik pinjaman pelajaran dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Dalam hal ini, kerajaan persekutuan tidak patut memilih kasih kerana graduan yang cermerlang dan lulus dalam kelas pertama adalah kunci kepada kejayaan pembangunan negara.
Adun DAP Kampung Tunku, Lau Weng San berkata, dasar diperkenalkan kerajaan Umno BN pada 2010 adalah sangat tidak adil buat graduan yang lulus cemerlang sebelum dasar itu diperkenalkan.
Menurutnya, pada 2010, kerajaan persekutuan telah menetapkan bahawa graduan yang lulus dengan Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama dan menamatkan pengajian pada 2010 akan diberi pengecualian dari membayar balik PTPTN.
“Pada masa sama, graduan yang menandatangi perjanjian dengan PTPTN sebelum 1 Julai 2005 dan mendapat Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama pula diberi pengecualian yang sama.
“Saya kecewa. Para graduan cemerlang lagi kecewa. Ibu bapa mereka pun kecewa. Kerajaan persekutuan harus berlaku adil kepada semua graduan Ijazah Kelas Pertama, bukannya bertindak pilih kasih,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Lau, sehingga hari ini rayuan dari graduan-graduan yang tamat sebelum 2010 untuk dikecualikan dari membayar balik PTPTN tidak dilayan oleh kementerian.
Sehubungan itu pagi tadi di sini, beliau bersama lebih 30 graduan telah menyerahkan surat buat kali kedua kepada wakil Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin untuk membangkitkan isu ini, setelah surat beliau pada 10 Januari lalu tidak dilayan.
Lau turut meluahkan rasa kecewa terhadap Kementerian Pengajian Tinggi yang selama ini gagal memberi jawapan sama ada graduan yang memohon ini untuk dikecualikan dari bayar balik PTPTN diterima atau tidak.
Dalam masa sama, graduan Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama Universiti Malaya 2008, Low Li Si berkata, beliau dan rakan-rakan sebelum ini telah berkali-kali menghubungi kementerian melalui pelbagai cara, tetapi masih tidak diendahkan.
Oleh itu, katanya pada hari ini, beliau dan rakan-rakannya terpaksa mengambil cuti hanya untuk menyampaikan permintaan mereka agar apa yang dituntut mereka, dijawab kerajaan.
“Kami berterima kasih kepada DAP dan YB Lau Weng San kerana sudi membantu kami hari ini,” katanya. Malaysiakini
No comments:
Post a Comment