Wednesday, February 8, 2012

Lelaki dibelasah dan diikat bapa rakan wanita

AMPANG: Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun bukan saja dibelasah bapa rakannya dalam keadaan kedua-dua tangan dan kakinya diikat, malah turut ditarik keluar dari rumah lelaki itu sebelum kepala dan badannya dipijak jiran, malam kelmarin.
Difahamkan, amukan lelaki berusia 30-an terbabit berpunca selepas melihat kelibat remaja itu di dalam rumahnya di Hulu Klang, di sini, bersama anak gadisnya yang juga rakan sekelas mangsa.

Sumber berkata, ekoran tidak berpuas hati melihat kehadiran mangsa dan menyangka menceroboh rumahnya, lelaki itu bertindak agresif dengan membelasah mangsa tanpa usul periksa.
“Kejadian berlaku jam 9 malam selepas lelaki terbabit pulang ke rumah dan melihat mangsa berbual mesra dengan anak gadisnya di ruang tamu.

“Hairan melihat kehadiran mangsa, lelaki terbabit membelasah remaja itu beberapa kali. Mangsa yang terkejut cuba mempertahankan diri dan bertanya kenapa dia dibelasah. Namun, lelaki itu tidak mempedulikannya, malah berlalu pergi dan datang semula ke arah mangsa dengan membawa tali,” katanya.

Menurut sumber, lelaki terbabit mengikat kedua-dua tangan dan kaki mangsa dengan tali walaupun cuba dihalang anak gadisnya.

“Mangsa yang dalam ketakutan merayu minta dilepaskan, tetapi tidak dipedulikan sebaliknya mangsa dipukul berulang kali sebelum dia diheret keluar dari rumah.

“Sebaik ditarik keluar dari rumah, lelaki terbabit dipercayai memberitahu beberapa jiran dan rakannya yang tinggal berhampiran dengan mendakwa mangsa menceroboh rumahnya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan dan siasatan lanjut dilakukan.

No comments:

Post a Comment