Wednesday, February 22, 2012

PRU13: Wartawan boleh undi pos


22 Februari 2012
PUTRAJAYA  - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini bersetuju menimbang permohonan para petugas media yang berhasrat untuk mengundi secara pos pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan wakil-wakil media cetak dan elektronik sebagai susulan kepada cadangan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Dengan Penambaikan Proses Pilihan Raya (PSC), mengenai undi pos buat kumpulan wartawan.
Beliau berkata, sebagai kesimpulannya, SPR bersetuju bahawa kumpulan petugas media memerlukan kemudahan sebagai pengundi pos, untuk memberi peluang kepada mereka menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

"Yang disyorkan oleh jawatankuasa itu ialah kumpulan wartawan, tapi istilah wartawan itu dirasakan terlalu sempit, petugas media lebih tepat," katanya pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan dengan wakil-wakil media untuk berbincang mengenai perkara itu di pejabat SPR di sini.

"SPR bersetuju, petugas media ini, di bawah Peraturan 3(1)(f)(Pengundian Pos) 2003, boleh memohon kepada pegawai pengurus pilihan raya di mana dia mendaftar sebagai pengundi (untuk mengundi secara pos), pegawai inilah yang akan menimbang dan mengurus permohonan mereka nanti," tambahnya.

Abdul Aziz berkata, mengikut peraturan sedia ada, permohonan untuk menjadi pengundi pos boleh dibuat selepas pengumuman penamaan calon dibuat oleh pegawai-pegawai pengurus pilihan raya, dan selepas didapati ada pertandingan di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, pemohon perlu mengisi borang yang akan disediakan, yang perlu diserahkan kepada pegawai pilihan raya tempat beliau mendaftar, dan SPR akan mencari kaedah terbaik bagi membolehkan pegawai pengurus pilihan raya terbabit dapat memaklumkan dengan pantas keputusan sama ada permohonan itu diluluskan atau ditolak.

Menurutnya, bagi memudahkan pelaksanaannya, SPR akan bekerjasama secara pentadbiran dengan media terbabit, untuk mengenal pasti petugas-petugas media yang boleh dikategori sebagai pengundi pos lebih awal, sebelum hari penamaan calon lagi.

"Maknanya secara pentadbiran, permohonan boleh dibuat sebelum penamaan calon lagi, supaya dapat dipastikan nama-nama yang dicadang itu ialah yang tepat, kerana selepas diwarta oleh pegawai pengurus sebagai pengundi pos, individu itu tidak lagi boleh tukar balik statusnya sebagai pengundi biasa lagi," katanya.
Namun menurutnya, ia bukan bermakna selamanya individu itu akan menjadi pengundi pos kerana pada pilihan raya berikutnya jika individu itu berhasrat untuk menjadi pengundi pos, individu itu perlu mengemukakan permohonan sekali lagi.

Abdul Aziz berkata, PSC sebelum ini mengemukakan cadangan supaya kumpulan wartawan, doktor dan jururawat diberi pertimbangan untuk mengundi secara pos atau mengundi lebih awal.

Bagaimanapun bagi kumpulan doktor dan jururawat, menurutnya hasil perjumpaan SPR dengan Ketua Pengarah Kesihatan, kumpulan itu didapati tidak memerlukan kemudahan undi pos itu.

Abdul Aziz berkata, segala maklum balas yang diterima dan keputusan serta rumusan SPR berhubung perkara itu akan dikemukakan kepada PSC dalam pertemuan pada 6 Mac ini. - Bernama
            
www.sinarharian.com.my

No comments:

Post a Comment