28 Februari 2012
Rakan artis rai mempelai
Bagi menghormati majlis dan memperoleh keberkatan-Nya, hadirin terlebih dahulu berselawat dipimpin kumpulan nasyid terkenal, Rabbani dan diteruskan dengan bacaan doa.
Ahli keluarga terdekat kemudiannya diberi peluang untuk merenjis tepung tawar yang terdiri daripada ayah dan ibu Yusry, Abdul Halim dan Zarina Fenner, abang Yusry, Norman serta ibu Lisa, Siti Amira Ahmad dan abang sulungnya, Mohamed Azan.
Majlis kemudiannya diteruskan jamuan makan sambil tetamu dihiburkan dengan persembahan nyanyian daripada kumpulan Forteen, Jaclyn Victor dan Aizat Amdan.
Rakan artis yang tidak ketinggalan meraikan merpati dua sejoli ialah Farid Kamil, Awal Ashaari, Scha Al Yahya, Nora Danish, Iqa, Daphne Iking, Aqasha, Aishah Sinclair, Zalif Sidek serta penerbit, David Teo dan pengarah, Prof Razak Mohaideen.
Majlis turut diserikan dengan celoteh pengacara terkenal, Faizal Ismail dan Vanidah Imran.
Ucapan khas Erra Fazira
Umum mengetahui bahawa perkahwinan ini adalah pertama buat Lisa dan kedua bagi Yusry yang sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan aktres jelita, Erra Fazira.
Mahligai yang dibina pada 2003 itu bagaimanapun hanya mampu bertahan selama tiga tahun apabila Yusry dan Erra memutuskan untuk berpisah.
Sudah pun menemui pengganti dan kini berbahagia di samping suami dan anak tercinta, Erra tidak ketinggalan menitipkan ucapan buat Yusry dan Lisa.
Rakaman ucapan Erra ditayangkan ketika jamuan makan bersama dengan ucapan daripada ahli keluarga dan teman baik kedua-dua belah pihak.
“Akhirnya, abang sudah menemui bidadari yang akan menemani abang. Saya doakan hubungan kalian akan kekal hingga ke akhir hayat,” katanya.
Selesai sesi tayangan ucapan, Faizal sempat mengusik bahawa ucapan Erra merupakan satu ‘kejutan’ buat tetamu yang hadir.
Syukur tidak terhingga
Majlis sampai ke kemuncaknya selepas acara memotong pulut kuning apabila pasangan mempelai diberi peluang memberikan sepatah dua kata kepada tetamu.
Baik Yusry mahupun Lisa, masing-masing memanjatkan kesyukuran kerana majlis yang dirancang berjalan dengan lancar.
“Saya sangat berterima kasih kepada anda semua kerana sudi hadir walaupun terpaksa meredah hujan untuk sampai ke sini.
“Tak lupa juga buat keluarga yang bertungkus- lumus membuat persiapan. Saya dan isteri memohon maaf andainya terdapat kekurangan,” kata Yusry.
Sementara Lisa mengakui sangat berdebar, namun terharu dengan kedatangan saudara mara dari jauh seperti Perak, Johor, Melaka dan Singapura.
“Kehadiran anda bagi sama-sama meraikan hari bahagia ini amat bermakna bagi saya.
“Sesungguhnya saya berasa amat gembira berada di sini dan berkongsi momen indah ini dengan kalian semua,” katanya,
Sebelum majlis berakhir, pengantin diiringi keluarga masing-masing bersalaman dan mengucapkan terima kasih kepada tetamu di pintu keluar dewan.
Buat Yusry dan Lisa, selamat menjalani kehidupan berumah tangga dan semoga ikatan yang terpatri akan berkekalan hingga hujung nyawa.
No comments:
Post a Comment