Sunday, March 18, 2012

AMK: Caj Amah tidak berkadaran pendapatan isi rumah

KUALA LUMPUR 17 Mac: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) berpendapat peraturan terbaru berhubung gaji minima pembantu rumah Indonesia, tidak berkadaran dengan pendapatan isi rumah di Malaysia.

Peraturan itu antara lain menetapkan seorang pembantu rumah Indonesia yang dilatih khusus perlu dibayar dengan kadar gaji minima sebanyak RM700 sebulan untuk satu tugas khusus seperti memasak, mengasuh bayi, menjaga orang tua atau mengemas rumah.

“AMK berpandangan, dasar ini mempunyai ruang yang besar untuk dipertikaikan.

“Ini kerana kadar tersebut, iaitu RM700 untuk satu tugasan spesifik, adalah jelas tidak berkadaran dengan pendapatan isi rumah khususnya golongan muda yang berpendapatan sederhana,” tegas Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Ketua Pengarah Pembinaan dan Penempatan Tenaga Kerja, Kementerian Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia, Dr Reyna Usma, dilapor antara lain turut menyatakan persetujuan itu dicapai dalam pertemuan Pasukan Petugas Bersama (JTF) Malaysia-Indonesia.

“Bagaimana JTF yang ditubuhkan tidak mengambil kira maklumat-maklumat asas mengenai pendapatan isi rumah majoriti masyarakat di Malaysia dan bandar-bandar utama seluruh negara,” kata Shamsul.

“AMK melihat keadaan ini berlaku atas kegagalan kerajaan melihat isu dan permasalahan sebenar sehingga membawa kepada konotasi yang salah dalam perundingan yang telah dilangsungkan dengan kerajaan Indonesia,” jelas beliau.

Justeru itu katanya, beliau mendesak agar kerajaan memperincikan semula butiran perbincangan tersebut.

“AMK mendesak kerajaan agar mengkaji semula peraturan baharu ini agar rakyat dan golongan muda berpendapatan sederhana khususnya tidak terus tertindas dengan peraturan seumpama ini,” tegasnya.

Short URL: http://www.keadilandaily.com

No comments:

Post a Comment