Harakahdaily | 23 Mac 2012 |
Anwar Ibrahim Club (AIC) menyambut baik kesediaan Pakatan Rakyat membatalkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) jika diberi mandat sebagai kerajaan baru Persekutuan pada pilihan raya umum yang ke 13, seperti kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pembatalan itu dilihat selaras dengan agenda Pakatan Rakyat untuk memberikan pendidikan percuma kepada rakyat seperti digariskan Buku Jingga dan sebagai satu lagi langkah ke hadapan untuk membantu menaikkan taraf pendidikan tinggi di negara Malaysia ini.
AIC percaya bahawa rancangan ini bukan sekadar retorik semasa tetapi adalah satu pelan komprehensif yang membuktikan sekiranya ekonomi diurustadbir dengan baik, maka melalui perolehan hasil negara yang banyak dapat terus dimanfaatkan bersama dan dinikmati oleh keseluruhan rakyat.
PTPTN adalah satu cara 'pemerasan' yang dibuat oleh kerajaan, bukan sahaja gagal mencapai objektif tetapi kemudian menjadi bebanan tambahan kepada peminjam. Dalam situasi ekonomi dan peluang pekerjaan yang tidak menentu, peminjam terbeban dengan syarat dan bunga pinjaman yang akhirnya menjadikan mereka penghutang tegar untuk jangka waktu yang panjang.
AIC juga memandang serius kepada ribuan lagi peminjam yang disenaraihitamkan oleh PTPTN yang akhirnya membawa implikasi buruk kepada anak-anak muda sehingga mereka dikenakan sekatan perjalanan ke luar negara. Logiknya, adakah cara ini benar-benar membantu mereka menyelesaikan masalah hutang PTPTN jika peluang pekerjaan dan perniagaan luar negara mereka ditutup.
AIC percaya Pakatan Rakyat sudah bersedia dengan mekanisme lebih baik untuk menangani bukan sahaja pembatalan PTPTN tetapi juga menyelesaikan masalah mangsa senarai hitam yang telah lama berlarutan. Ramai anak muda yang menjadi mangsa dan penghutang tegar sebelum mencecah umur 30-an dan keadaan ini memberi impak buruk pada kesan jangka panjang sosio ekonomi negara.
Justeru, AIC mengucapkan syabas kepada inisiatif Pakatan Rakyat untuk membebaskan anak muda daripada belenggu kezaliman terancang yang telah menjerat leher mereka selama puluhan tahun. Semoga iltizam yang baik seperti ini akan mendorong generasi anak muda terus menggerakkan zaman ke hadapan.
Generasi Penggerak Zaman
No comments:
Post a Comment