Saturday, March 24, 2012

Zulfadli yakin musnahkan Vietnam

kosmo

ZULFADLI yakin untuk memusnahkan Vietnam selepas skuad negara berjaya menjinakkan Singapura semalam.


TAHAP keyakinan juara remaja dunia, Zulfadli Zulkifli semakin tinggi menjelang pertemuan menentang Vietnam pada aksi kedua peringkat Kumpulan J Kejohanan Badminton Piala Axiata 2012 hari ini.

Menurut Zulfadli, bukan dia sahaja yang memiliki semangat seperti itu tetapi keyakinan pemain-pemain lain turut melonjak selepas kejayaan menundukkan Singapura 3-0 pada aksi pertama peringkat kumpulan di Stadium Tenis Tertutup Senayan, Jakarta semalam.

Malah, pemain berusia 19 tahun itu juga bersedia sepenuhnya jika jurulatih perseorangan negara, Hendrawan membuat keputusan untuk menurunkannya selaku pemain perseorangan pertama pasukan Malaysia Leopard hari ini.

“Tahap keyakinan saya sememangnya tinggi selepas berjaya menang perlawanan pertama hari ini (semalam).

“Jika jurulatih memberikan kepercayaan kepada saya untuk turun selaku perseora- ngan pertama, saya sudah bersedia sepe- nuhnya.

“Siapa pun yang akan menjadi lawan saya, saya tidak kisah kerana apa yang lebih pen- ting, fokus kepada permainan.

“Saya bertekad untuk mempamerkan corak permainan yang baik dalam setiap perlawanan,” kata Zulfadli yang bernaung di bawah Kelab Raket Kuala Lumpur (KL- RC).

Terdahulu, Malaysia Leopard yang dibarisi pemain skuad bawah 21 tahun (B-21) negara mendapat tonik terbaik dalam misi memburu slot ke peringkat separuh akhir selepas membenam cabaran Singapura semalam.

Kemenangan 3-0 ke atas Singapura sudah cukup untuk meletakkan Malaysia Leopard berada pada landasan terbaik bagi merealisasikan matlamat tersebut.

Tampil selaku perseorangan pertama, Misbun Ramdan Misbun menepati ramalan awal apabila berjaya menyumbangkan mata pertama skuad negara selepas menewaskan Robin Gonansa 20-22, 21-12, 21-19.

Rentak kecemerlangan tersebut diteruskan beregu negara, Ow Yao Han-Chooi Kah Meng apabila memastikan kemenangan awal memihak kepada skuad negara hasil kejayaan menundukkan Terry Yeo-Yi Liu 21-14, 15-21, 21-19.

Zulfadli melengkapkan kemenangan Malaysia Leopard selepas mengetepikan caba- ran Huang Chou 17-21, 21-16, 21-16.

Diminta mengulas mengenai perlawanan pertama menentang Huang Chou, Zulfadli yang juga juara remaja Asia mengakui yang dia masih dalam proses menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang.

“Hari ini merupakan perlawanan pertama saya dan saya akui, saya tidak beraksi pada tahap prestasi sebenar.

“Saya masih dalam proses untuk menye- suaikan diri dengan keadaan gelanggang, angin dan lampu dalam stadium.

“Namun, saya yakin saya boleh buat yang lebih baik untuk perlawanan seterusnya,” jelas Zulfadli.

Sementara itu, dalam satu lagi pertemuan Kumpulan J, Indonesia Garuda menewaskan Vietnam 3-0.

No comments:

Post a Comment